Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk memberi bantuan wakaf bagi pemulihan institusi pendidikan dan kesihatan, termasuk sebuah universiti, di Baitulmaqdis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata institusi pendidikan tinggi (IPT) termasuk universiti tempatan sudah diarah menjalinkan hubungan dengan Universiti Al-Quds bagi memperkukuhkan aktiviti di institusi itu.

“Saya sudah berbincang bersama-sama Dr Mohd Na’im [Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar] dan katakan, selain bantuan khusus untuk pemulihan Gaza, kita akan membawakan satu bantuan pewakafan kepada jamiah Al-Quds, Universiti Al-Quds dan sekolah-sekolah serta hospital di Baitulmaqdis.

“Saya berharap usaha kita akan dapat meningkatkan bantuan dalam meringankan bebanan mereka, kerana ada sebuah universiti di sana yang bergantung pada bantuan umat.

“Malam ini, kita akan luncurkan dan Insya-Allah kita akan beri ruang serta bantuan kepada universiti ini dalam masa terdekat. Saya turut meminta mereka berbincang dengan IPT serta universiti-universiti tempatan untuk jalinan hubungan diperkukuhkan dalam aktiviti universiti itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI di Masjid Putra, di sini, yang turut disiarkan secara langsung melalui Facebook RTM, malam ini.

Turut hadir ialah Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri, dan Mohd Na’im.

Terdahulu, Sheikh Dr Ekrima mengimamkan solat maghrib di Masjid Putra.

Anwar berkata, Malaysia akan meneruskan agenda memperjuangkan Palestin dan rakyatnya, termasuk hak Al-Aqsa dan Baitulmaqdis.

Katanya, rakyat negara harus bersatu meneruskan agenda itu dengan menunjukkan iltizam dan tanggungjawab, sekali gus membantu meringankan beban penduduk Palestin.

Menyentuh mengenai kehadiran Sheikh Dr Ekrima pula, Anwar berkata, kehadiran beliau sebagai seorang alim, masyhur dan juga imam serta khatib yang menjadi pertahanan Masjid Al-Aqsa di bumi bertuah Baitulmaqdis.

“Beliau mewakili satu kawasan yang mempunyai sejarah gemilang. Sejarah Isra’ Mikraj, sejarah Salahuddin Al-Ayyub Al-Khattab. Ia juga sejarah yang gelap dalam dunia kerana pencerobohan, kezaliman, penjahat oleh Zionis Israel,” katanya.-BH Online