KUALA LUMPUR: Seramai 116 pelatih tamat menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 1/2025 selepas menyertai latihan itu sejak 12 Januari lalu.
Sepanjang tempoh 45 hari itu, kesemua 73 pelatih lelaki dan 43 wanita terbabit diberi pendedahan ilmu pengetahuan dan kemahiran berdasarkan modul kenegaraan serta asas ketenteraan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata 30 peratus program itu membabitkan modul kenegaraan dan nilai-nilai murni, manakala baki 70 peratus adalah latihan berdasarkan asas ketenteraan, sekali gus menyumbang kepada pembentukan jati diri pelatih.
“Setiap pelatih diberi pendedahan mengenai pilihan kerjaya masa depan meliputi bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta industri, di samping badan beruniform dan sukarela.
“Dengan bekalan ilmu itu, setiap pelatih bakal meneruskan langkah perjalanan masa depan lebih terarah bagi memastikan pilihan yang dibuat adalah tepat dan serasi dengan jiwa serta kebolehan masing-masing,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 1/2025, di sini, hari ini.
Bagi PLKN 3.0 Siri 1/2025, Adly memaklumkan pada mulanya, seramai 120 pelatih mendaftarkan diri secara sukarela selepas dipanggil menyertai latihan itu, namun empat daripada mereka tidak dapat menamatkan latihan.
“Dua pelatih terbabit tidak dapat menamatkan latihan PLKN kerana dipanggil menyertai latihan bersama skuad kebangsaan dalam acara silat bagi mewakili negara, selain dipanggil untuk menyambung pelajaran.
“Dua lagi pula disahkan mengalami masalah kesihatan dan perlu menjalani rawatan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azly berkata, pihak kementerian dan PLKN akan memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang ada dari semasa ke semasa, termasuk isu berkaitan pakaian celoreng ketenteraan yang dikatakan tidak mencukupi.
“Kita akan berusaha memastikan pakaian celoreng ini mencukupi. Malah, pakaian yang digunakan bagi Siri 1/2025 akan digunakan semula untuk peserta PLKN 3.0 Siri 2/2025 yang bermula 11 Mei hingga 24 Jun 2025 dan Siri 3/2025 dari 7 September hingga 21 Oktober depan,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada barisan jurulatih, komandan, kumpulan pembina modul, pensyarah serta staf CLKN Rejimen 515 Askar Wataniah.-BH Online