Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Warga asing tidak layak menikmati tambang subsidi menerusi perkhidmatan bas henti-henti BAS.MY, justeru perlu membayar tambang pada kadar biasa apabila menggunakan perkhidmatan itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pas bulanan perjalanan tanpa had disediakan kerajaan pada kadar RM50 untuk tempoh sebulan, tidak boleh dinikmati oleh warga asing apatah lagi tambang percuma seperti yang tersedia kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, dan pelajar.

“RM50 yang kita (kerajaan) subsidikan itu hanya untuk warganegara Malaysia… Kalau warga asing mereka kena bayar tiket seperti biasa mengikut kadar tambang, jarak dan sebagainya,” katanya sewaktu sidang media majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) Ipoh BAS.MY di Dewan Bandaran Ipoh, di sini hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Datuk Azlan Shah Al Bakri.

Anthony berkata, pas perjalanan tanpa had pada kadar RM50 iaitu Kad 30 Hari Bas.My diperkenalkan sebagai usaha mengurangkan beban rakyat di negara ini terhadap kos pengangkutan awam dengan ia diunjur dapat menjimatkan kos pengangkutan antara RM100 hingga RM150 sebulan.

“Kos pengangkutan memang merupakan salah satu komponen kos sara hidup. Jadi memang kerajaan bersungguh-sungguh meringankan beban rakyat agar kos sara hidup ini dapat diturunkan dengan adanya perkhidmatan seperti ini.

“Bayangkan seorang pekerja kalau mereka tinggal di Kampar atau Kuala Kangsar dan datang kerja di Ipoh menggunakan kad tanpa had RM50 ringgit sebulan iaitu tidak sampai RM2 sehari. Jadi ia penjimatan yang banyak kepada mereka dan sesuatu yang saya rasa amat membantu kepada golongan pekerja,” katanya.

Kad konsesi Bas.my, menawarkan tambang percuma kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas, golongan kurang upaya (OKU) dan pelajar sekolah berusia 7 hingga 17 tahun.

Kata Anthony, keistimewaan tambang percuma itu juga diperluaskan kepada golongan mahasiswa universiti, politeknik, kolej komuniti dan matrikulasi, seperti diumumkan Perdana Menteri menerusi Belanjawan 2025.

Sementara itu, pelaksanaan Bas.My Ipoh akan membabitkan lima kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Majlis Daerah Kampar, Majlis Daerah Batu Gajah dan Majlis Daerah Perak Tengah.

Anthony berkata, melalui inisiatif itu, sebanyak 51 bas baharu terdiri 14 bas midi dan 37 mini low floor akan digunakan yang membabitkan nilai perbelanjaan RM13.17 juta setahun.

“Walaupun pelaburan (perbelanjaan) ini sama berbanding sebelum ini, tetapi tahap perkhidmatan sudah ditambah baik dengan penambahan laluan ke Kuala Kangsar dan Kampar,” katanya.

Katanya lagi, MoT akan sentiasa mendengar maklum balas daripada kerajaan negeri sekiranya terdapat keperluan bagi perubahan laluan bas bagi Bas.my khususnya apabila berlaku kekurangan drastik bilangan penumpang di sesuatu laluan.-BH Online