KUALA LUMPUR: Program Celik MADANI membantu pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) meningkatkan pelaburan dan membina tabiat menyimpan sejak usia muda.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata mahasiswa baharu akan diberi sumbangan dana pelaburan awal RM50 yang dikunci selama lima tahun.
“Jika diandaikan pulangan dividen sepanjang tempoh itu adalah sebanyak 5.5 peratus setahun, dan pelajar membuat simpanan tambahan RM20 sebulan selama empat tahun.
“Ini diikuti dengan simpanan RM100 sebulan ketika mula bekerja selama enam tahun dan mereka dijangka mampu mempunyai simpanan terkumpul melebihi RM10,000 dalam tempoh 10 tahun, jika tiada pengeluaran dibuat,” katanya pada majlis Penyerahan Memorandum Perjanjian Program Celik MADANI di sini, hari ini.
Amir Hamzah berkata, Program Celik MADANI menyasarkan penglibatan seramai sejuta pelajar IPT dalam masa lima tahun bermula September depan secara berfasa.
“Fasa pertama program ini membabitkan enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang telah memberi komitmen untuk melabur dana sebanyak RM120 bilion bagi tujuan pelaburan langsung domestik dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan pelaburan mereka di dalam pasaran modal awam bernilai RM440 bilion.
“Enam GLIC terbabit ialah Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” katanya.
Selain itu, melalui inisiatif ini, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) akan menyumbang sebanyak RM25 dan kerajaan akan memadankan baki RM25 supaya setiap pelajar akan menerima RM50.
Amir Hamzah berkata, sebelum penghujung tahun 2025, fasa pertama Celik MADANI dijangka selesai dan akan memberi manfaat kepada 200,000 orang pelajar.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan menyeru semua IPT yang terbabit dalam program Celik MADANI untuk menggalakkan pelajar meningkatkan pelaburan serta membina tabiat menyimpan sejak usia muda.
Katanya, melalui kepimpinan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor, generasi muda harus memiliki kesedaran kewangan yang tinggi dan membuat keputusan kewangan yang bijak.
“Dengan ini, mereka bukan sahaja dapat mengemudi kewangan untuk diri sendiri dan keluarga, malah dapat dapat memacu kewangan negara pada masa depan.
“Pelajar juga digalakkan untuk terus menabung. Walaupun serendah RM20 sebulan, ia akan membantu meningkatkan simpanan mereka dalam tempoh empat hingga lima tahun kepada jumlah yang sewajarnya, menjadikan mereka lebih yakin dan bersedia apabila mereka tamat pengajian,” katanya – BH Online