IPOH: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning perlu diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, semalam, berikutan penggal DUN ke-15 Perak, belum mencapai tempoh mandat tiga tahun.
Mesyuarat Pertama Tahun Pertama Persidangan DUN ke-15 Perak diadakan pada 19 Disember 2022.
Berikutan itu, Barisan Nasional (BN) Perak akan memulakan gerak kerja awal bagi mengekalkan kerusi berkenaan biarpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menetapkan tarikh untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata hal itu sudah dibincangkan beliau bersama Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerusi panggilan telefon pagi tadi.
“Pagi saya dapat panggilan dari Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) yang juga Presiden UMNO. Beliau dan saya sudah bincang yang kita tidak akan tunggu pengumuman SPR, (sebaliknya) kita terlebih dahulu buat program aktiviti ke arah memenangi PRK.
“Saya akan berjumpa jawatankuasa UMNO Bahagian Tapah empat peringkat termasuk Ketua Cawangan pada Rabu ini mengenai persediaan yang perlu dibuat walaupun masih dalam kesedihan,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, Saarani yang juga Menteri Besar Perak, menyertai solat jenazah di Masjid An Nur Desa Sri Ampang di sini selepas menziarahi keluarga Allahyarham di Desa Sri Ampang.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia di sini jam 11 pagi tadi.
Saarani menjelaskan, soal calon BN bagi berdepan PRK itu akan ditentukan jawatankuasa pilihan raya dan akan dirujuk kepada Presiden parti.
“Kita akan menubuhkan jawatan kuasa pemilihan dan berunding dengan Presiden. Saya percaya dengan kekuatan UMNO dan BN Tapah yang sedia ada, kita boleh menang di kawasan itu (Ayer Kuning),” katanya.
Ishsam menjadi Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, sebelum menang bertanding kerusi DUN Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada November 2022.
Pada PRU-15, Ishsam sebagai Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi apabila memperoleh 9,088 undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (6,875); Perikatan Nasional (6,812); Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Berdasarkan Perkara 36(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Speaker DUN akan memaklumkan kepada SPR untuk mengadakan PRK.
PRK mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima notis rasmi mengenai kekosongan kerusi terbabit.-BH Online