KUALA LUMPUR, 22 Februari- Jemaah Menteri telah memutuskan agar Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 akan dibentang dan dibahas untuk diluluskan pada sidang Parlimen kali ini.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil berkata RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 merupakan langkah pertama dalam usaha mereformasi institusi dan penambahbaikan terhadap institusi demokrasi utama negara, iaitu Parlimen.
RUU tersebut bakal mewujudkan sebuah Majlis Parlimen yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
“RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 pula akan dibawa bagi membolehkan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat menganggotai Majlis Parlimen tersebut.
“Jemaah Menteri turut memutuskan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan membuat bacaan pertama dan memperincikan kedua-dua RUU berkenaan di Dewan Rakyat pada Isnin, 24 Februari 2025.
“Jemaah Menteri turut bersetuju dan mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat bacaan kali kedua yang dijangka pada 4 Mac 2025,” katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, ia bukti iltizam Kerajaan MADANI terhadap usaha melaksanakan agenda reformasi serta memperkukuh institusi-institusi demokrasi dalam negara.-Berita RTM