Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi pembangunan lapan jenis sukan yang berpotensi meraih pencapaian membanggakan di temasya Sukan Olimpik.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, lapan sukan terpilih itu ialah terjun, renang, badminton, berbasikal, memanah, olahraga, skuasy, dan taekwondo.

Hannah menjelaskan bahawa peruntukan itu diperoleh berdasarkan penilaian terhadap bajet yang disediakan untuk program pembangunan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) seperti Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP), Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP), dan Program Pembangunan Bola Jaring Negara (NNDP).

“Lapan sukan Olimpik ini mempunyai bakat dan potensi kerana di Olimpik, ramai atlet junior yang bertanding. Namun, disebabkan kekurangan dana dan pendedahan, mereka kurang keyakinan. Program Podium sahaja tidak mencukupi kerana saya bimbang kita akan ketandusan atlet.

“Jadi, untuk mengatasi masalah ini, kita telah diberikan RM20 juta. Peruntukan ini bertujuan pembangunan bakat, mengenal pasti atlet di semua peringkat, menghantar mereka ke pertandingan, dan melahirkan pelapis masa depan,” katanya.

Hannah berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Program Pembangunan Sukan Olimpik di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, MSN tidak akan campur tangan dalam menentukan agihan peruntukan yang diterima buat kali pertama itu.

Sebaliknya, keputusan berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada pihak persatuan, barisan kejurulatihan dan pakar bagi menetapkan jumlah yang diperlukan.

“RM20 juta ini tidak akan diagihkan sama rata antara lapan sukan, bukan semua sukan memerlukan dana yang sama,” katanya sambil menyifatkan lapan sukan itu kini mendapat peluang untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan dan program mencungkil bakat.

Dalam pada itu, Hannah tidak menolak kemungkinan peruntukan berkenaan akan bertambah seiring dengan jumlah sukan sekiranya program sedia ada dapat menunjukkan hasil positif. – BERNAMA