KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas ke atas pelaku kes cabul membabitkan seorang kanak-kanak perempuan dalam masjid di Batang Kali, Selangor jika individu terbabit terbukti melakukan perbuatan berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata tindakan tegas itu perlu untuk memberi pengajaran dan iktibar kepada semua pihak.
Beliau antara lain menegaskan kejadian terbabit menjadi iktibar kepada pengurusan masjid dan surau untuk mempertingkat langkah kawalan keselamatan institusi masjid dan surau.
“Kejadian seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dan mengangkat seorang kanak-kanak perempuan yang sedang bersolat di masjid pagi tadi adalah kes berunsur jenayah serta mesti dipandang serius.
“Tindakan EXCO Hal Ehwal Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Muhammad Fahmi bin Ngah, memanjangkan laporan kejadian kepada Ketua Polis Selangor adalah tindakan tepat.
“Ia agar pihak berkuasa membuat siasatan segera. Semua pihak diseru bertenang dan menyerahkan perkara ini kepada tindakan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, seorang remaja lelaki tempatan berusia 19 tahun dilapor ditahan bagi membantu siasatan kes cabul kanak-kanak dalam sebuah masjid dekat Batang Kali awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata terdahulu pihaknya menerima laporan berhubung video yang tular kejadian itu di media sosial pada jam 8.19 pagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Kejadian itu dikatakan berlaku ketika budak perempuan terbabit sedang sujud bersolat Subuh di belakang barisan jemaah wanita.
Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) masjid terbabit kini tersebar di media sosial, memaparkan kejadian itu.
Berdasarkan rakaman CCTV tersebar, seorang lelaki berkopiah putih menyelinap masuk ke bahagian ruangan solat wanita sebelum memeluk mangsa dari arah dan membawanya keluar dari ruangan berkenaan.
Ketika itu, murid berkenaan sedang solat di saf belakang seorang diri, justeru menyebabkan tindakan itu tidak disedari jemaah wanita lain yang sedang sujud.-BH Online