Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Hanya 94 kertas siasatan dibuka mengikut Akta Hasutan 1948 (Akta 15) sepanjang tahun lalu, sekali gus tidak menunjukkan peningkatan ketara jumlah dicatatkan sejak 2015.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, ia sekali gus menunjukkan dakwaan bahawa kerajaan menggunakan sewenang-wenangnya akta terbabit terhadap individu adalah tidak benar.

“Faktanya tidak menunjukkan kerajaan menggunakan akta itu secara sewenang-wenangnya. Ada tiga keadaan jumlah kes yang dibuka kertas siasatannya melebihi 100.

“Ia berlaku pada 2023 iaitu 122 kertas siasatan; 2020 sebanyak 117 kertas siasatan dan 2015 sebanyak 109 kertas siasatan.

“Jadi angkanya lebih kurang sama sahaja, maka tiadalah dikatakan (kerajaan) gunakan sewenang-wenangnya,” katanya pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, kerajaan juga membenarkan perhimpunan dilaksanakan dengan 99 peratus daripada 7,000 notifikasi diterima pihak polis, berjalan secara aman tanpa halangan sepanjang tahun lalu.-BH Online