Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Lebih 25,000 syarikat mengguna sistem e-Invois membabitkan pengeluaran 181.3 juta e-Invois sejak ia mula dilaksanakan pada 1 Ogos tahun lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pelaksanaan e-Invois ini bukan sahaja membabitkan syarikat atau pembayar cukai fasa pertama dan kedua, tetapi turut disertai syarikat yang berada dalam fasa ketiga secara sukarela. 

“Sejak pelaksanaan inisiatif e-Invois, sebanyak 25,173 syarikat menggunakan sistem e-Invois yang membabitkan pengeluaran 181.3 juta e-Invois secara keseluruhan. 

“Penyertaan syarikat dalam fasa sukarela juga menunjukkan tahap penerimaan yang baik dalam mematuhi pelaksanaan e-Invois,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta menteri kewangan menyatakan sama ada nilai ambang atau julat e-Invois akan dinaikkan daripada hasil tahunan RM150,000 kepada RM500,000.

Guan Eng juga mahu tahu sama ada majikan akan dikecualikan daripada sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing mereka demi meringankan beban kewangan peniaga tempatan.

Amir Hamzah berkata, lebih 700,000 peniaga kecil antaranya membabitkan peniaga nasi lemak atau penjaja menerima manfaat selepas kerajaan memberiu pengecualian daripada pengeluaran e-Invois kepada mereka yang mempunyai jualan tahunan di bawah nilai ambang RM150,000.

Beliau berkata, langkah itu diambil susulan kerajaan sedar akan cabaran yang dihadapi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam mengadaptasi e-Invois terutama dari aspek penerapan teknologi dan jurang kesediaan pengetahuannya. 

“Selain itu, bagi terus membantu PMKS untuk mempunyai tempoh persediaan yang secukupnya, kerajaan juga bersetuju supaya fasa pelaksanaan e-Invois bagi PMKS yang mempunyai nilai jualan tahunan antara RM150,000 hingga RM500,000 ribu setahun ditangguhkan ke 1 Januari 2026. 

“Sebagai tambahan, tempoh peralihan selama enam bulan juga akan disediakan kepada kumpulan peniaga ini yang akan memberi manfaat kepada lebih 240,000 PMKS,” katanya.

Amir Hamzah berkata, pelaksanaan e-Invois bermula sejak 1 Ogos lalu bagi syarikat yang mempunyai jualan tahunan melebihi RM100 juta. 

Katanya, mulai 1 Januari lalu, pelaksanaan e-Invois fasa kedua pula bermula bagi syarikat yang mempunyai jualan tahunan di antara RM25 juta hingga RM100 juta. 

“Pelaksanaan e-Invois fasa ketiga secara menyeluruh akan bermula pada 1 Julai ini membabitkan semua jenis perniagaan termasuk PMKS. 

“Namun begitu, kerajaan menyediakan tempoh peralihan selama enam bulan bagi memberi kelonggaran kepada peniaga untuk membuat persiapan sepenuhnya dan boleh mengeluarkan e-Invois disatukan,” katanya.-BH Online