SHAH ALAM: Firma guaman adalah di antara entiti yang dikenal pasti terlibat dalam isu pindah milik tanah secara tidak sah membabitkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pihak berkenaan didapati terlibat secara langsung dalam melengkapkan urusan tanah (pindah milik).
“Sebagaimana kenyataan dibuat pihak berkuasa dan siasatan yang dimaklumkan, ia bukan hanya berlaku di pejabat tersebut (PDT Klang). Ada urusan dengan pejabat peguam (firma guaman).
“Setakat ini ada pejabat peguam dan ada pegawai dari pejabat berkenaan (PDT Klang) dan itu yang terakhir kita dapat kenal pasti,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Menjawab soalan tambahan, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan menyelesaikan perkara berkenaan memandangkan ia memberi risiko termasuk pampasan dan kerugian tinggi.
Beliau berkata, keadaan lebih parah sekiranya isu penyelewengan tanah melibatkan transaksi dan pihaknya juga mengambil langkah awal dengan meletakkan kaveat sebagai antara langkah awal penyelesaian.
“Sebab itu kaveat diletakkan lebih awal. Kalau pemaju ingin membangunkan (tanah) dan mereka sudah hantar kebenaran merancang, (tapi) baru kenal pasti masalah. Ini akan beri kesan lebih buruk dan pampasan dan nilaian ganti rugian lebih besar.
“Saya percaya ini satu rompakan yang jelas memberikan kesan kepada hasil negeri dan juga potensi kepada awam,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga mengarahkan setiap pejabat tanah untuk menjalankan audit dan pemeriksaan bagi memastikan peristiwa tersebut tidak berulang walaupun ketika ini dikenal pasti hanya satu pejabat tanah yang terlibat.
“Perkara ini turut mencalarkan kredibiliti pentadbiran, imej dan keyakinan kepada pengurusan tanah dalam negeri Selangor walaupun ia hanya berlaku di satu pejabat tanah tapi saya mintak untuk semua pejabat tanah menyemak supaya kita dapat mengelakkan peristiwa ini dapat berulang,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua, berkata kerajaan negeri mengambil langkah pencegahan bagi memastikan isu berkenaan tidak berlaku di pejabat tanah atau jabatan kerajaan lain.
Katanya, selain tindakan disiplin terhadap pegawai terlibat, turut dilaksanakan adalah program taklimat bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta program peningkatan integriti.
“Jabatan Perkhidmatan Awam juga sedang melaksanakan pusingan kerja supaya mana-mana pegawai tidak berada di satu tempat terlalu lama dan memungkinkan berlaku peristiwa yang tidak inginkan (penyelewengan),” katanya.
Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah tidak mahu lagi mendengar isu pemilikan tanah dan pengeluaran lesen perniagaan diseleweng bagi memenuhi keperluan peribadi seperti dilapor berlaku di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang sebelum ini.
Justeru, baginda menitahkan semua penjawat awam di negeri ini terutama di PDT serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bertugas dengan penuh tanggungjawab serta menjauhi amalan rasuah serta penyelewengan.-BH Online