KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih dalam proses memperhalusi draf Rang Undang-Undang (RUU) tahanan rumah menerusi beberapa siri bengkel dan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia bagi memastikan segala input dan pandangan diambil kira dalam penyediaan draf RUU berkenaan.
Beliau berkata berdasarkan sesi bengkel dan libat urus yang dilaksanakan, fokus KDN dalam penggubalan RUU berkenaan akan menjurus kepada penyelesaian isu kesesakan penjara disebabkan oleh tahanan reman.
“Dalam membangunkan draf RUU tahanan rumah, beberapa proses perlu dilaksanakan sebelum ia dapat dimuktamadkan dan dibentangkan di Parlimen.
“Antaranya, sesi libat urus bersama pihak berkepentingan merangkumi pelbagai pihak dan Jawatankuasa Pilihan Khas, semakan perundangan oleh Penasihat Undang-Undang Kementerian dan Jabatan Peguam Negara serta kelulusan Jemaah Menteri.
“RUU ini dijangka dapat dibentangkan di Parlimen tahun ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status penggubalan RUU Tahanan Rumah sebagai hukuman alternatif bagi kesalahan tertentu.
Teresa juga mahu mengetahui sama ada KDN akan mengadakan rundingan dengan masyarakat sivil, orang awam dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen.
Saifuddin Nasution berkata KDN melalui Jabatan Penjara sentiasa memandang serius terhadap isu kesesakan di penjara.
Beliau berkata dalam hal ini, Jemaah Menteri pada 3 September 2024 bersetuju secara dasar bagi mewujudkan suatu akta baharu berhubung dengan tahanan di rumah (home detention) yang memberikan kuasa kepada mahkamah untuk menahan atau mengeluarkan perintah tahanan rumah sebagai alternatif kepada pemenjaraan.
Sebelum ini Saifuddin Nasution menjelaskan, faktor utama mendorong KDN memperkenalkan RUU itu bertujuan mengurangkan kesesakan di institusi penjara yang ketika ini dihuni lebih 87,000 orang di seluruh negara.
Sementara itu Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, turut menegaskan RUU berkenaan bukan untuk ‘membebaskan’ bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau orang kenamaan lain.
Sebaliknya Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata niat utama RUU itu adalah untuk menukar konsep ‘punitive justice’ yang diamalkan sebelum ini kepada ‘restorative justice’ atau keadilan pemulihan kepada banduan.-BH Online