KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang dalam proses akhir untuk memuktamadkan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 susulan pelan sedia ada bakal berakhir hujung tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata dokumen PPTM akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat sebelum ia diluncurkan.
“KPT sedang merangka dokumen hala tuju pendidikan tinggi yang baharu bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM 2015-2025 yang akan tamat tempohnya pada tahun ini.
“Pembangunan pelan yang baharu ini adalah penting kerana dunia pendidikan tinggi sentiasa berubah dengan pesat, terutama dalam konteks globalisasi dan perkembangan teknologi.
Justeru, adalah penting bagi Malaysiauntuk memastikan pendidikan tingginya seiring dengan transformasi global,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen malam tadi.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan S Kesavan (PH-Sungai Siput) yang meminta penjelasan Menteri Pendidikan Tinggi mengenai status terkini PPPTM 2025-2035.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, pembangunan PPTM dimulakan pada Mei tahun lalu dan didukung 40
orang kumpulan pakar yang berpengalaman daripada pelbagai bidang didalam dan luar ekosistem pendidikan tinggi.
Katanya, kemajuan pembangunan PPTM turut dipantau dua jawatankuasa utama, iaitu Jawatankuasa Penasihatyang dipengerusikan beliau sendiri dan Jawatankuasa
Pemandu yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPT.
“Sepanjang tempoh penggubalan PPTM, pelbagai gerak kerja termasuk sesi libat urus dan proses pengumpulan data bersama pemegang taruh dilaksanakandengan sewajarnya.
“Sehingga 31 Disember 2024, KPT melaksanakan 35 sesi libat urus yang membabitkan lebih 6,410 orang pemegang taruh daripada pelbagai kelompok dalam dan luar ekosistem pendidikan tinggi.
“Lebih 1,816 orang telah memberikan maklum balas melalui tinjauannasional yang dilaksanakan, sekali gus menjadikan 8,226 orang pemegang taruh dilibatkan dalam pembangunan PPTM,” katanya.-BH Online