TELUK INTAN: Seramai 24,700 pembayar cukai sudah menggunakan sistem e-invois yang membabitkan pengeluaran sekitar 173 juta e-invois bermula dari fasa pertama pada 1 Ogos 2024 sehingga 13 Februari lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata bagi fasa kedua yang bermula 1 Januari lalu, lebih 11,600 pembayar cukai menggunakan sistem berkenaan setakat 13 Februari.
Katanya, bagi fasa tiga yang akan bermula 1 Julai ini, terdapat penyertaan awal secara sukarela daripada 7,700 pembayar cukai.
“Kerajaan yakin sistem ini dilihat berkesan untuk mengurangkan ketirisan cukai ke tahap optimum untuk kebaikan dan kemakmuran negara,” katanya ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Perasmian Menara Hasil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Teluk Intan, di sini ,hari ini.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat merasmikan menara berkenaan pada majlis itu.
Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.
E-Invois adalah invois dalam format digital representasi yang mengandungi maklumat transaksi antara penjual dan pembeli termasuk maklumat sedia ada seperti jenis barang, kuantiti, harga, jumlah yang perlu dibayar, maklumat cukai dan sebagainya.
Semua pembayar cukai di Malaysia yang menjalankan aktiviti komersial diwajibkan untuk melaksanakan e-Invois dengan garis masa pelaksanaan yang berbeza bergantung pada pendapatan atau jualan tahunan.
Lim berkata Kementerian Kewangan di bawah Kerajaan MADANI sentiasa mendepani usaha memakmurkan ekonomi dan mensejahterakan negara, khususnya melalui pelaksanaan dasar fiskal serta tadbir urus sistem percukaian yang cekap dan mampan.
Menurutnya, `shadow economy’ (ekonomi bayangan) telah lama dikenal pasti sebagai antara penyumbang kepada ketirisan cukai yang kritikal setiap tahun.
“Dianggarkan saiz ekonomi bayangan di Malaysia adalah sekitar 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Antara usaha untuk mengatasi virus ekonomi bayangan ini yang telah merebak ke seluruh negara dalam pelbagai industri adalah dengan pengenalan e-invois.
“(E-invois) diperkenalkan oleh kerajaan melalui kenyataan Pra Belanjawan 2023 pada 3 Jun, 2022 dan diperkenalkan secara berperingkat bermula 1 Ogos 2024 (fasa pertama),” katanya.– BERNAMA