Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Aduan membabitkan salah laku polis akan dilaksanakan secara menyeluruh melalui sistem pengurusan aduan dan siasatan (SPEACS) bagi menggantikan kaedah sedia ada bersifat lebih konvensional termasuk emel.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sistem itu yang dibangunkan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dijangka dilancarkan bulan depan.

“Melalui cara ini, ia akan menggantikan sistem aduan cara sekarang antaranya melalui emel, pengadu datang sendiri dan surat…itu semua tiada lagi.

“Mereka boleh terus melaporkan (aduan) menggunakan sistem ini,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan pencapaian IPCC sejak penubuhannya sehingga akhir tahun 2024 dan menjelaskan fungsi IPCC, Police, Friends and Collaborator (IPFC).

Pada masa sama, Saifuddin Nasution berkata, IPCC membuka sebanyak lapan kertas siasatan terhadap aduan yang diterima membabitkan salah laku dalam kalangan pihak berkuasa itu.

Beliau berkata, daripada lapan kertas siasatan yang dibuka sejak IPCC beroperasi 1 Julai 2023 lalu, empat daripadanya berjaya diselesaikan.

“Berdasarkan akta IPCC, ada aduan IPCC boleh siasat dan cadangkan hukuman, ada aduan IPCC terima dan perlu disalurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ada elemen rasuah.

“Ada juga aduan jenayah berat perlu disalurkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ). Fungsi suruhanjaya ini beradaskan kepada aduan yang sampai.

“Lagi banyak aduan yang sampai, bermakna lagi tinggilah keyakinan awam terhadap suruhanjaya ini menjalankan tugas,” katanya.

Beliau berkata, melalui SPEACS, suruhanjaya juga boleh menghasilkan laporan tahunan, perincian statistik aduan dan perkembangan dari masa ke semasa.

“Ia bermakna apabila sistem ini dibangunkan, kita boleh ada papan pemuka untuk membuat pengesanan terhadap status aduan,” katanya.-BH Online