Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: ASEAN berada di landasan untuk muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Bagaimanapun, katanya, ia memerlukan pertumbuhan inklusif bagi memastikan seluruh komuniti mendapat manfaat.

Walaupun pusat bandar utama seperti Kuala Lumpur, Bangkok dan Jakarta mempunyai paras Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi, beliau berkata, banyak kawasan di seluruh ASEAN masih mengalami cabaran besar, termasuk akses terhad kepada elektrik, pendidikan serta peluang ekonomi.

“Ketika ini, kita merupakan ekonomi kelima terbesar tetapi unjuran menunjukkan bahawa menjelang 2030, ASEAN mampu berada pada kedudukan keempat.

“Cabaran bukan saja untuk meraih pencapaian ini, malah untuk memanfaatkan kekuatan ekonomi kita bagi memacu pembangunan mampan serta saksama kepada semua,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ekonomi Belia ASEAN (AYEF) 2025, di sini, semalam.

Nik Nazmi menekankan kemajuan ekonomi tidak seharusnya diukur hanya menerusi pertumbuhan KDNK secara keseluruhan.

Sebaliknya, beliau berkata, tidak kurang penting ialah bagaimana ia dapat menambah baik kehidupan rakyat di seluruh ASEAN, terutama mereka yang berada di kawasan luar bandar dan kurang membangun.

“Tidak cukup sekadar berkata kita adalah ekonomi keempat terbesar, sekiranya masih banyak kekurangan akses kepada keperluan asas seperti pendidikan, elektrik dan peluang sama untuk wanita. Isu-isu ini juga perlu diberikan perhatian,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Nazmi berkata, jika ASEAN bertindak secara bebas dan bukan sebagai sebuah blok yang disatukan, rantau ini akan mempunyai impak terhad kepada hal ehwal global.

“Kita sedang berusaha… sebagai contoh, untuk bersatu sebagai blok ASEAN pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP 30) 2025 bagi menerima pakai pendirian berpadu mengenai perubahan iklim.

“Apa saja yang berkesan di Malaysia berkemungkinan besar akan berkesan dalam banyak keadaan – walaupun tidak selalu – di Indonesia, Singapura atau Filipina memandangkan kita berasal dari rantau sama, berkongsi persamaan budaya dan ekonomi serta mempunyai struktur yang serupa,” katanya.

AYEF 2025 yang berlangsung dari 14 Februari hingga esok di sebuah hotel, di sini, adalah platform kepada pemimpin muda dari ASEAN dan Jepun.

Bertema ‘Perubahan Iklim dan Membina Ekonomi Berdaya Tahan Iklim’, forum itu menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri dan perwakilan belia untuk membincangkan strategi memperkukuh ketahanan ekonomi dalam menghadapi perubahan iklim.- BH Online