KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Cuba, Bruno Eduardo Rodriguez Parrilla, semalam, bagi membincangkan kerjasama yang boleh dimaksimumkan untuk manfaat kedua-dua negara.
Dalam hantaran melalui Facebook, malam tadi, Perdana Menteri berkata, pertemuan itu juga sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Cuba yang terjalin sejak 6 Februari 1975.
“Kami sempat berbicara dan bertukar pandangan mengenai sinergi kerjasama dalam industri halal, kesihatan, pelaburan dan perdagangan, ASEAN, BRICS serta situasi di Gaza.
“Dalam pertemuan itu, saya menitipkan jemputan kepada Presiden Cuba, Miguel Díaz-Canel, untuk berkunjung ke negara ini bagi merapatkan lagi hubungan diplomatik yang terjalin selama ini,” katanya.
Parrilla berada di Malaysia untuk lawatan rasmi selama empat hari bermula Rabu lalu hingga hari ini.
Ia merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan itu pada 2 Mac 2009.-BH Online