KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi antara tonggak utama kerajaan untuk mempertahankan sistem tadbir urus yang bersih dan berintegriti, sekali gus menyelamatkan negara daripada masalah rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Kerajaan MADANI bawah pimpinannya tidak akan sekali-kali berkompromi dalam isu itu, justeru beliau memberi kuasa penuh kepada SPRM untuk bertindak tanpa halangan terhadap mana-mana individu yang terbabit penyalahgunaan kuasa.
“Saya telah memberi mesej yang jelas bahawa tidak wajar lagi diizinkan perolehan tanpa kawalan, dan SPRM diberi kebebasan penuh untuk menggeledah, membongkar serta mengambil tindakan.
“Saya bersyukur kerana walaupun terdapat sanggahan di luar, saya paling hormat pimpinan dan keluarga besar SPRM kerana telah memikul amanah yang sukar ini,” katanya sambil menyifatkan masalah rasuah di Malaysia sudah berakar dan hampir menjadi budaya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Beristiadat SPRM 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, malam tadi, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Mengakui ada sejarah tersendiri dengan SPRM yang sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR), Anwar berkata, membanteras rasuah bukanlah satu tugas mudah kerana sistem dan pimpinan politik kadangkala tidak semuanya serasi.
Justeru ketika menjadi sebahagian daripada anggota Kabinet dalam kerajaan terdahulu, katanya, beliau telah mengutamakan usaha memperkasakan BPR dengan pindaan undang-undang, penambahan pegawai dan sokongan kewangan yang mencukupi.
“Saya katakan kepada BPR, kalau serius menangani masalah rasuah, kita mesti ada iltizam untuk membawa beberapa perubahan. Jadi, kita (kerajaan) kirim (hantar) pasukan ke Hong Kong kerana negara itu mempunyai sejarah mengenai rasuah.
“Tahun 60-an, 70-an, Hong Kong terkenal sebagai negara paling tinggi jenayah dan rasuah. Maka, ada keputusan ketika itu untuk menubuhkan ‘Hong Kong Anti-Corruption Commission’. Suruhanjaya itu diperkasakan dengan peruntukan undang-undang yang kemas dan kukuh, lengkap dengan jentera serta pegawai.
“Dengan tiga faktor ini, kebebasan mereka dalam rasuah berubah dalam masa lapan tahun dan Hong Kong berubah wajah sebagai sebuah negara yang bersih. Saya terkesan dengan laporan itu,” katanya.
Anwar juga memberi jaminan bahawa selagi mampu melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri, beliau tidak akan bertolak ansur dalam usaha memerangi rasuah demi memastikan Malaysia mampu menjadi negara yang bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa, dalam masa terdekat.-BH Online