Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, optimis isu pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan dapat dimuktamadkan pada tahun ini.

Beliau berkata, isu pindaan berkait akta itu adalah antara perkara yang perlu diselesaikan untuk memastikan Malaysia berada dalam kedudukan 25 negara terbaik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033.

“Saya optimis kita boleh menyelesaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Akta Kebebasan Maklumat, tahun ini.

“Tahun ini juga, kita akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Iltizam, selain Reformasi Kerenah Birokrasi dan saya sudah memperkenalkan Reformasi Perkhidmatan Awam.

“Salah satu pemboleh daya baharu yang saya perkenalkan dalam kerangka reformasi itu ialah perolehan dan tatacara kewangan. Maka, ini adalah perkara-perkara yang saya yakin akan dapat menambah baik kedudukan kita (dalam CPI),” katanya pada program Dialog Tiga Penjuru terbitan Astro Awani yang dihoskan Nazri Kahar, malam tadi.

Turut menjadi panel jemputan pada program itu ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan.

Terdahulu, Muhammad memaklumkan bahawa isu pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat telah dibangkitkan sejak enam tahun lalu, dan proses membentangkannya di Parlimen juga tertangguh beberapa kali.

Ditanya mengenai enam bidang diberi tumpuan bagi menambah baik CPI Malaysia menjelang 2033 pula, Shamsul Azri berkata, setiap bidang itu mempunyai ketuanya sendiri dan perlu mengemukakan laporan.

Bagi mencapai sasaran itu, beliau berkata, pihaknya juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana rakan strategik, termasuk TI-M.

Sementara itu, Azam berkata, pindaan terhadap akta berkenaan adalah sangat perlu, malah pihaknya yakin lebih ramai pemberi maklumat akan berani menyalurkan maklumat kepada SPRM mengenai kegiatan rasuah dan penyelewengan.

“Ia juga akan memberikan perlindungan. Memang beberapa peruntukan bawah akta itu perlu diperbaharui, contohnya cadangan beberapa pihak supaya perlindungan diberikan kepada pihak swasta,” katanya.

Beliau berkata, antara peruntukan perlu dipinda ialah sekiranya pemberi maklumat itu memberitahu pihak lain bahawa dia adalah ‘pemberi maklumat’, maka perlindungan perlu kekal dijamin dan bukannya terbatal seperti peruntukan sedia ada dalam akta itu.-BH Online