Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Seramai 1,020 pegawai perkhidmatan awam yang sudah berkhidmat lima tahun dan ke atas di kementerian, jabatan atau agensi untuk jawatan sama, terbabit dalam pelaksanaan pusingan kerja mulai Ogos tahun lalu.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata ia adalah jumlah hingga Februari ini yang membabitkan pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi serta Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) Perkhidmatan Gunasama.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan, hari ini, pelaksanaan itu menyaksikan 283 pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi dari pelbagai skim perkhidmatan telah ditempatkan ke jawatan baharu, selain 737 pegawai Kumpulan P&P Perkhidmatan Gunasama menjalani proses pusingan kerja.

Katanya, pelaksanaan inisiatif pusingan kerja itu selaras aspirasi Shamsul Azri dalam memperkasakan keupayaan pemboleh daya reformasi sektor awam.

Menurutnya lagi, kerajaan komited melaksanakan inisiatif pusingan kerja itu bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam dan menyokong Agenda Reformasi Sektor Awam.

“Pusingan kerja adalah strategi utama dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan dengan memberi pendedahan baharu kepada pegawai serta memperluaskan pengalaman merentasi pelbagai sektor dan bidang kepakaran,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan pusingan kerja memberi jalan keluar yang signifikan dalam memperoleh keberhasilan maksimum, sekali gus dapat membendung kemerosotan prestasi, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa.

Katanya, kerajaan amat yakin bahawa pusingan kerja bukan saja dapat meningkatkan keberkesanan dan daya saing sektor awam, tetapi juga memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien, progresif serta responsif terhadap keperluan rakyat dalam mendepani cabaran semasa.

Malah, katanya, pelaksanaan pusingan kerja memberi manfaat dari segi pengayaan kompetensi, pemerkasaan inovasi, pembangunan kepimpinan, ketelusan dan akauntabiliti, serta peningkatan motivasi.

“Dari segi pengayaan kompetensi, ia memberi peluang kepada pegawai untuk mengembangkan kemahiran, kepakaran dan perspektif lebih luas dalam pentadbiran awam.

“Manfaat dari segi pembangunan kepimpinan pula ialah membantu melahirkan pemimpin yang dinamik, berdaya tahan dan mampu menangani cabaran semasa dengan lebih baik,” katanya. 

Dari segi pemerkasaan inovasi, ia berupaya mencetuskan idea dan pendekatan baharu dalam penyampaian perkhidmatan awam.

“Bagi manfaat dari segi ketelusan dan akauntabiliti, ia mengurangkan risiko salah laku dengan mengelakkan pegawai berada terlalu lama dalam sesuatu jawatan, manakala peningkatan motivasi pula memberi nafas baharu kepada pegawai dengan cabaran serta persekitaran kerja lebih segar,” katanya.-BH Online