Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Kerajaan menggalakkan lebih banyak pembinaan gudang simpanan bertingkat yang moden dan berteknologi tinggi di negara ini dalam usaha mengoptimumkan penggunaan tanah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ini selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan negara ini sebagai pusat logistik serantau pada masa akan datang.

“Sekarang ini, sudah menjadi satu trend sebab mereka hendak mengoptimumkan penggunaan tanah. Kos tanah walaupun masih kompetitif, tetapi tidak dinafikan turut meningkat.

“Sudah tentu untuk pelabur juga, mereka hendak mengoptimumkan penggunaan tanah mereka. Memang ini sesuatu yang baharu, kita mengharapkan supaya lebih banyak (gudang bertingkat) dibina menggunakan inovasi, teknologi dan mesin supaya kecekapan gudang itu dapat dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas memyempurnakan Majlis Pecah Tanah Hab Logistik Exio Kemudahan Logistik Berteknologi Tinggi dan Mampan di Elmina East dekat sini, hari ini.

Loke berkata, gudang-gudang lama banyak menggunakan tenaga manusia, berbanding gudang-gudang moden yang lebih bersifar ‘logistik pintar’ atau ‘gudang pintar’ dengan lebih banyak teknologi serta mesin robotik digunakan bagi 

mengangkut dan memunggah barangan.

“Semua ini dapat merancakkan dan memajukan sektor ekonomi serta menyokong sektor perdagangan negara. Sebagai sebuah negara perdagangan yang besar, sudah tentu sektor logistik memainkan peranan yang utama.

“MOT (Kementerian Pengangkutan) sentiasa menyokong usaha ini dan kita mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dalam sektor logistik,” katanya.

Beliau berkata, semakin banyak gudang baharu yang sedang dibina bukan sahaja di Selangor tetapi juga di negeri-negeri lain. 

“Justeru, kita perlu memaksimum dan mengoptimumkan penggunaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL )selepas ia siap nanti. Kita mahu menghubungkan antara Lembah Klang dengan negeri-negeri di Pantai Timur supaya kita juga dapat membantu untuk merancakkan pembangunan perindustrian di Pantai Timur,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis pecah tanah Hab Logistik Exio yang membabitkan kerjasama antara IJM RE Sdn Bhd, anak syarikat penuh yang dimiliki IJM Corporation Bhd (IJM Corp) dan FMM Elmina Sdn Bhd.

Sementara itu, IJM dan Storio Sdn Bhd (Storio) dalam satu kenyataan bersama berkata, tanah pegangan bebas utama seluas 8.9 hektar (22 ekar) di Elmina East dipajak sepenuhnya kepada Storio sebagai pengendali dan penyewa utama. 

Storio, yang dimiliki oleh pemegang saham FMM Elmina, akan menguruskan kemudahan itu, yang terdiri daripada dua hab iaitu Storio Hub 1 dan 2 dengan jumlah ruang lantai 500,000 kaki persegi. 

Pembinaan hab akan dimulakan serta-merta, dengan penyerahan kepada Storio disasarkan untuk suku pertama 2027.

Selaras dengan kepakaran pembinaannya, IJM Construction Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh IJM Corp, dianugerahkan kontrak RM284 juta untuk membina Hab Logistik Exio, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemain utama dalam sektor hartanah perindustrian.-BH Online