Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan untuk menyalurkan pembiayaan lebih RM1 bilion kepada usahawan dan koperasi di Sabah, tahun ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata sasaran itu bagi mencontohi pencapaian kementeriannya di Sarawak yang merekodkan lebih RM1 bilion pembiayaan kepada usahawan dan koperasi di negeri itu tahun lalu.

Beliau berkata, bagi negeri Sabah, jumlah pembiayaan yang disalurkan KUSKOP melalui agensi di bawahnya pada tahun lalu hanya mencapai RM813.4 juta kepada seramai 53,395 usahawan dan koperasi.

“Saya secara peribadi ingin melihat lebih ramai usahawan Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan koperasi di Sabah tampil datang berjumpa dengan kami dan agensi di bawah kementerian.

“Kalau di Sarawak pembiayaan yang disalurkan lebih RM1 bilion pada tahun lalu, di Sabah juga saya mahu melihat sasaran itu tercapai pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Media KUSKOP 2025, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sasaran kementeriannya pada tahun ini selepas merekodkan RM813.4 juta dalam bentuk pembiayaan kepada usahawan dan koperasi di Sabah sepanjang tahun lalu.

Ewon berkata, pembiayaan itu disalurkan menerusi agensi di bawah KUSKOP seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Daripada jumklah itu, katanya, antara lain sebanyak RM10.28 juta digunakan bagi Program Pembangunan 54 Premis Tamu Desa, diikuti RM8.39 juta kepada 113 syarikat menerusi Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) PLUS dan RM3.56 juta untuk Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) yang memberi manfaat kepada 893 peniaga.

Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian itu berkata, beliau juga memberi tumpuan kepada kawasannya dengan sebanyak RM20.95 juta pembiayaan daripada KUSKOP disalurkan kepada 478 usahawan di Penampang pada tahun lalu.

“Di kawasan Kadamaian pula sebanyak RM16.58 juta disalurkan sepanjang tahun lalu membabitkan seramai 1,683 usahawan dan koperasi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, ahun ini KUSKOP memperkenalkan program khas Ehsan@KUSKOP bagi membantu usaha menoktahkan kemiskinan di Sabah. 

Bagi tujuan itu, katanya, usaha sedang digerakkan untuk menyediakan bantuan pendidikan kepada pelajar sekolah dalam kalangan e-Kasih terutama di daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat.

“Tiga kawasan Parlimen itu menjadi perintis program khas ini kerana mengambil kira daftar e-Kasih di ketiga-tiga daerah yang tertinggi di Sabah.

“Ini adalah inisiatif KUSKOP untuk sama-sama melaksanakan inisiatif ke arah menoktahkan masalah kemiskinan di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon mengakui kepentingan media dalam memastikan inisiatif dan hasrat kerajaan, termasuk di bawah KUSKOP dapat dikongsi secara tepat dan cepat kepada rakyat.

Katanya, komuniti PMKS menjadi tonggak kepada ekonomi negara, dengan menyumbang kepada 39.1 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan menggaji seramai 7.86 juta pekerja.

“Selaras dengan statistik ini, KUSKOP secara umumnya adalah kementerian yang penting dan usahawan serta koperasi meletakkan harapan yang tinggi kepadanya.

“Terkait dengan harapan itu, dengan pelbagai agensi yang rapat dengan usahawan dan koperasi berada di bawah KUSKOP, mereka menuntut aspek penyampaian perkhidmatan yang berkesan dari kementerian ini.

“Justeru, kerjasama kementerian ini dengan pengamal media adalah sangat penting dalam membantu meningkatkan hebahan dan penyampaian perkhidmatan KUSKOP,” katanya.-Bh Online