KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan terus memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran serta kefahaman mengenai kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi program bersifat inklusif dan berkesan.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata KPN akan sentiasa memastikan perpaduan di Malaysia terus dipelihara dengan mengambil kira kepelbagaian etnik, budaya dan agama yang menjadi asas kekuatan negara ini.
“Tahun lalu, KPN telah melaksanakan 730 program merangkumi kluster Semarak Perpaduan, Semarak Kenegaraan dan Komuniti Rahmah.
“Pelaksanaan pelbagai program ini bertindak sebagai tapak integrasi nasional yang dapat meningkatkan interaksi antara rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas pandangan, cadangan dan kritikan membina yang dikemukakan oleh Pengarah Pengajian Asia Universiti Tasmania, Prof Dr James Chin, berhubung kerelevanan KPN.
Selain itu, Aaron berkata, pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) tahun ini yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPN, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, bagi meneliti semua insiden atau isu perpaduan di negara ini.
“Penubuhan JPIP juga akan membolehkan KPN bertindak pantas dalam memberi maklum balas serta nasihat kepada rakyat Malaysia. Mesyuarat pertama JPIP telah diadakan pada bulan lalu,” katanya.
JPIP dibarisi wakil daripada KPN, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta Kementerian Pendidikan.
Selain itu, JPIP juga dianggotai Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan beberapa ahli akademik.
Beliau berkata, KPN juga telah melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif dalam menguruskan isu perpaduan.
Antaranya, pelaporan melalui sistem eSepakat dan penubuhan lapan pusat mediasi komuniti, selain melantik 571 mediator komuniti serta pemantauan melalui Dashboard Analitik Perpaduan.
Dalam pada itu, Aaron berkata, beliau sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan cadangan membina daripada semua pihak.
Beliau juga bersedia untuk bertemu dengan mana-mana pihak yang menginginkan penjelasan mengenai isu perpaduan negara.
“Perpaduan adalah tanggungjawab semua pihak, bukan hanya kerajaan. Ia memerlukan pembabitan aktif daripada setiap lapisan masyarakat, termasuk sektor swasta, badan bukan kerajaan dan individu dalam masyarakat,” katanya.-BH Online