Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: HRD Corp mencatatkan kutipan levi tertinggi sebanyak RM2.3 bilion tahun lalu berbanding RM2.1 bilion pada 2023.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata kejayaan itu adalah hasil reformasi pengurusan dilaksanakan tanpa kompromi di semua agensi dan jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) termasuk HRD Corp.

Beliau berkata, menerusi Dasar KESUMA Reengineering, kerajaan kini komited untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada pemegang taruh, khususnya dalam pemprosesan tuntutan levi.

“Jika sebelum ini proses tuntutan levi oleh majikan mengambil masa seminggu, tahun ini kita sasarkan hanya satu jam.

“Untuk penyedia latihan, tempoh pemprosesan dikurangkan daripada tujuh hari kepada hanya tiga hari,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025, di Dewan Serbaguna Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sing Ming, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood.

Mengulas lanjut, Sim berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan pengurusan dana latihan lebih cekap, telus, dan memberi manfaat maksimum kepada tenaga kerja negara.

“Reformasi itu bukan sahaja mempercepatkan proses, tetapi juga memastikan majikan dan penyedia latihan mendapat akses yang lebih pantas kepada dana bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Sim berkata, sebanyak 85 peratus daripada tuntutan levi telah disalurkan, menunjukkan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding tahun 2023. 

“Bantuan kewangan tertinggi dicatatkan pada kadar 98 peratus, mencerminkan peningkatan sebanyak 29 peratus berbanding tahun 2023,” katanya.-BH Online