KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mahu terburu-buru dalam memuktamadkan tangga pendapatan bagi klasifikasi 15 peratus teratas kelompok rakyat berpendapatan tinggi atau T15.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata justeru Kementerian Ekonomi perlu diberikan masa untuk mengenal pasti tangga pendapatan yang tepat sebelum diumumkan.
“Kita berharap Kementerian Ekonomi akan memuktamadkan perkara itu dalam masa terdekat tetapi apa yang penting ialah usaha (memuktamadkan tangga pendapatan terbabit) perlu dibuat dengan kefahaman dan data yang tepat.
“Kita tidak mahu buat dengan cepat atau laju kerana tidak mahu salah. Jadi beri masa untuk Kementerian Ekonomi habiskan usaha mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) bawah CIMB, di Pusat Komuniti Pinggiran Bukit Jalil 2, di sini, hari ini.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata warga asing dan 15 peratus pengguna teratas yang digelarnya sebagai ‘maha kaya’, menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 yang merangkumi kira-kira RM8 bilion.
Sehubungan itu, Perdana Menteri dipetik berkata, nilai berkenaan lebih baik sekiranya dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan awam, pendidikan dan pengangkutan.
Oktober tahun lalu, Anwar dilaporkan berkata kerajaan belum memuktamadkan jumlah tangga pendapatan bagi klasifikasi T15 yang dijangka dikecualikan daripada beberapa subsidi, tahun ini.
Perdana Menteri juga menafikan anggapan dan fahaman sebilangan pihak yang mentakrifkan T15 adalah isi rumah berpendapatan RM12,000 ke atas sebagaimana takrifan dipakai pada masa kini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula kemudian dilaporkan berkata individu diklasifikasikan sebagai T15 akan ditentu berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah serta lokasi tempat tinggal mereka.
Dalam pada itu, Amir berkata kerajaan berusaha memberi bantuan dan subsidi kepada mereka yang benar-benar layak.
“Disebabkan itu, kita membangunkan Pangkalan Data Utama (PADU) bagi membolehkan Kementerian Ekonomi menetapkan tahap gaji tertentu (untuk tujuan berkaitan),” katanya.-BH Online