Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebarang pengumuman berhubung penetapan tarif elektrik di Semenanjung hanya akan dikeluarkan secara rasmi oleh kerajaan, kata Datuk Seri Fadilah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut memberi jaminan penetapan tarif elektrik di Semenanjung termasuk pelaksanaan jadual tarif baru di bawah Regulatori Keempat (RP4) bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027 akan mengambil kira semua aspek termasuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, komponen terbesar dalam pengiraan tarif asas adalah unjuran harga bahan api iaitu arang batu dan gas untuk penjanaan elektrik. 

“Kenaikan harga bahan api di peringkat global dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini menjadikan unjuran bagi tempoh RP4 (2025 – 2027) adalah lebih tinggi supaya ia mencerminkan harga bahan api sebenar pada masa ini.

“Unjuran harga bahan api arang batu dan gas adalah jauh lebih rendah semasa penetapan kadar purata tarif asas elektrik bagi tempoh Regulatori Ketiga (RP3) iaitu pada tahun 2022 hingga 2024 yang mengakibatkan pelarasan surcaj tarif elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) menjadi amat tinggi.

“Oleh itu, penetapan unjuran baharu bagi tempoh RP4 akan merapatkan lagi jurang harga bahan api semasa supaya pelarasan ICPT yang disemak setiap enam bulan dapat dikawal dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen. 

Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin), mahu kerajaan menyatakan rasional di sebalik hasrat Tenaga Nasional Berhad (TNB) menaikkan tarif eletrik walaupun negara jiran terdekat mempunyai perancangan sebaliknya. 

Bulan lalu, media melaporkan kerajaan sudah meluluskan kenaikan 14.2 peratus dalam tarif asas bagi tempoh 2025 hingga 2027, namun berita itu dinafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, cadangan jadual tarif baru yang akan dilaksanakan bermula pada 1 Julai ini akan mencerminkan kos pembekalan elektrik sebenar yang lebih kompetitif dan berdaya saing.

Selain itu, katanya Kerajaan sudah memperuntukkan RM5.96 Bilion untuk meneruskan pemberian subsidi secara bersasar bagi 85 pengguna pengguna domestik di Semenanjung terus kekal dilindungi daripada sebarang kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna dalam tempoh berkenaan. 

“Kementerian melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) sudah melaksanakan libat urus bersama pemain industri dan komuniti perniagaan pada 13 Januari dan 5 Februari lalu mengenai perkara ini. 

“Pembabitan pemain industri dan komuniti perniagaan adalah penting bagi memastikan kepentingan semua pihak diambil kira.

“Kementerian akan memperhalusi pandangan diberikan untuk dijadikan input bagi penetapan jadual tarif baru kelak supaya semua pengguna terutama pihak industri lebih bersedia dengan perubahan itu dan menggunakan elektrik dengan lebih cekap pada masa akan datang,” katanya.-Bh Online