Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pengukuhan tatakelola dalam industri beras dan padi termasuk pemegang konsesi beras import antara syor terkandung dalam hasil kajian dijalankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kajian berkaitan industri beras dan padi itu sudah pun siap dan dibentangkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Justeru, beliau berharap syor terkandung dalam kajian terbabit diteliti kerana ia adalah keperluan untuk KPKM memperkukuhkan isu terkait pengurusan industri beras dan padi negara.

“Sebagaimana tanggungjawab kita adalah untuk mengemukakan kajian laporan tersebut. Saya kira, sebagaimana yang sering disebutkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Datuk Seri Mohamad Sabu) sering memetik (hasil) kajian tersebut.

“Jadi syor tersebut antara yang (boleh) dipertimbangkan oleh kerajaan khususnya KPKM dalam kita memperkukuhkan hala tuju industri padi dan beras di negara kita,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) yang mahu penjelasan kementerian berhubung langkah untuk menumpaskan kartel padi dan beras sekali gus melindungi kepentingan pesawah dan pengguna.

Menjawab pertanyaan mengenai kewujudan kartel yang mempengaruhi kenaikan harga perkhidmatan dan barang sewenang-wenangnya, Armizan mendedahkan terdapat dua kes dalam siasatan di peringkat akhir ketika ini membabitkan persatuan tertentu.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan secara terperinci mengenai persatuan terbabit dalam pakatan penentuan harga.

“Antara dua kes yang kita sedang siasat di peringkat akhir ini adalah tindakan persatuan-persatuan tertentu yang membuat pakatan dalam penentuan harga.

“Insya-Allah siasatan sedang berlangsung. Ini merupakan antara yang kita fokus untuk mengekang persatuan-persatuan dan pihak tertentu untuk bergabung menetapkan harga yang boleh menjejaskan tuntutan persaingan di pasaran tersebut,” katanya.-BH Online