KUANTAN: Status kemajuan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang membabitkan empat negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Kelantan dan Selangor, sudah mencapai 78.5 peratus setakat Januari lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata tahap kemajuan meyakinkan itu selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL untuk fasa pertama dari Kota Bharu, Kelantan, ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor, pada Disember 2026.
Beliau berkata, jajaran fasa kedua dari Gombak ke Pelabuhan Selangor pula akan disiapkan menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.
“Alhamdulillah, projek ini (ECRL) bukan projek kecil tetapi projek besar dengan mengambil kira kerjasama.
“Oleh itu, saya mengucapkan tahniah kepada MRL (Malaysia Rail Link Sdn Bhd) dan CCCECRL (China Communications Construction Sdn Bhd) kerana dapat berganding bahu menjayakan kemajuan projek ini.
“Insya-Allah, projek ECRL ini (fasa pertama) akan siap pada hujung tahun depan dan boleh beroperasi pada 2027. Namun, yang lebih penting ialah projek ini membuka ekonomi di Pantai Timur bagi menarik lebih banyak pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Laporan Impak Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan Bagi Projek ECRL, di Tapak Projek ECRL Seksyen 10 di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Amir Hamzah berkata, projek ECRL sepanjang 665 kilometer yang bernilai RM50.27 bilion itu adalah inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menghubungkan negeri di Pantai Timur dengan Lembah Klang.
Selain itu, beliau berkata, ia juga bagi meningkatkan mobiliti rakyat, merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menambah kesejahteraan masyarakat, khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Projek ini turut memperkasakan keupayaan bakat tempatan berkemahiran dalam industri rel,” katanya.
Sementara itu, Darwis pula berkata, projek ECRL berada dalam landasan tepat untuk siap mengikut jadual.
Beliau berkata, aktiviti pembinaannya berjalan lancar di 361 tapak kerja yang aktif dengan lebih 18,000 warga kerja di sepanjang jajaran ECRL.
“Dengan momentum kerja pembinaan yang amat menggalakkan ini, MRL optimis akan memulakan pengoperasian ECRL dalam masa dua tahun lagi.
“Ia selaras dengan aspirasi rakyat dan komuniti perniagaan, dalam usaha menyediakan pengangkutan yang lancar untuk penumpang serta kargo,” katanya.-BH Online