Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEKINCHAN: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesahkan ada menerima beberapa idea mengenai idea serta cadangan pelaksanaan sistem kutipan tol secara Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) di negara ini.

Perkara itu dimaklumkan Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, namun tidak mengulas lanjut mengenai idea dimaksudkannya itu, sama ada turut membabitkan cadangan dikemukakan syarikat konsesi untuk membiayai pembinaan lorong aliran bebas di plaza tol.

“Dah ada idea-idea, kita akan terimalah nanti,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke lokasi tapak pembinaan jejantas laluan motosikal dan pejalan kaki berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Leman, di sini, hari ini.

Sebelum ini, 32 syarikat konsesi tol lebuh raya dilapor mungkin akan membiayai pembinaan lorong aliran bebas di plaza tol, langkah yang akan memberi penjimatan lebih RM1 bilion kepada mereka.

Portal FMT memetik sumber yang mengetahui perkara itu, melaporkan pada 2023, syarikat konsesi membantah tindakan kerajaan untuk menganugerahkan secara langsung projek MLFF kepada sebuah syarikat swasta bagi semua lebuh raya di negara ini.

Menerusi sistem MLFF, semua pintu keluar dan masuk di lebuh raya akan ditukar menjadi lorong bebas halangan bagi mengurangkan kesesakan dan memudahkan aliran trafik.

Syarikat konsesi yang dilaporkan tidak dirujuk mengenai projek itu, akhirnya terpaksa menanggung kos sebanyak RM3.46 bilion untuk projek berkenaan.

Mengulas lanjut, Nanta Linggi berkata sistem MLFF diluluskan kerajaan terdahulu dan kerajaan sekarang kerana ia diguna pakai di negara maju.

“Malaysia bersama dalam satu yang dikategorikan sebagai Intelligent Transport System (ITS) dan kita sudah bersetuju dengan sistem MLFF. Mungkin dimaksudkan (dalam isu ini) adalah siapa kontraktor yang akan mengendalikan atau operasikan.

“Pada peringkat awal, sebuah syarikat telah diberi perjanjian dua tahun dan tempoh itu sudah tamat untuk Prove of Concept (POC).

“Sehubungan itu satu memorandum atau kertas cadangan akan diangkat ke Kabinet nanti untuk menyatakan perkara yang terdahulu sudah tamat masa dan (apa) hala tuju masa depan kerajaan,” katanya.

Pada 11 Disember lalu, Nanta Linggi memaklumkan halangan utama pelaksanaan sistem MLFF adalah kesukaran memuktamadkan struktur tadbir urusnya.

Ini kerana kira-kira 13 daripada keseluruhan syarikat konsesi lebuh raya tidak bersetuju dengan pelaksanaan sistem MLFF.-BH Online