Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan isu ‘kera di hutan disusukan, anak mati kelaparan’ tidak timbul, ketika menjawab kritikan sesetengah pihak berhubung usaha Malaysia membangunkan semula Gaza.

Beliau berkata apa yang dilakukan Malaysia demi tanggungjawab antarabangsa kerana negara sejak awal lagi menyokong Palestin sebagai sebuah negara merdeka.

“Betullah ada orang kata, apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengatakan bahawa Malaysia akan bersama-sama mengusahakan untuk pembinaan semula Gaza di Palestin.

“Minggu lepas ada orang mengatakan bahawa umpama ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’. Anak di rumah tak mati lapar pun dan kita tidak susu pun kera di hutan.

“Itu tanggungjawab antarabangsa kita. Malaysia merupakan negara yang dari awal penubuhan negara rejim Zionis, telah pun menyatakan bantahan kita terhadap (perkara) itu dan kita menyokong untuk negara Palestin ditubuhkan sebuah negara merdeka. Sudah 70 tahun.

“Kita merasa bangga kerana sifat ataupun kerjasama (negara) Asia Timur dalam pembinaan semula Palestin merupakan satu usaha kumpulan negara CEAPAD (Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin),” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang memohon penjelasan daripada kerajaan bagaimana untuk menjawab sekali gus menangkis pihak yang mahu Malaysia menumpukan masalah dalaman negara berbanding membantu pembangunan Palestin.

Mengulas lanjut usaha CEAPAD, Mohamad berkata Jepun ada memohon supaya Malaysia menjadi pengerusi bersama pakatan negara itu dan terlebih dahulu mengadakan persidangan di peringkat kepegawaian.

Berikutan terdapat syor untuk persidangan itu dianjurkan pada Julai tahun ini, beliau berkata ia dicadang untuk diawalkan sekitar Mac dan April ini.

“CEAPAD ini negara ASEAN kecuali Myanmar dan Timor-Leste tidak menjadi anggota. Korea (Selatan) Jepun dan Palestin merupakan negara pendorong utama iaitu dalam kerjasama (blok) Asia Timur dalam pembinaan semula Palestin.

“Ini satu penghormatan kepada kita. Bukanlah kita hendak membina semula Gaza itu kerana ia bukan senang dan bukannya murah. Tapi kita akan membawa negara sepemikiran, membawa negara dari blok selatan untuk kumpulkan.

“Banyak negara sepemikiran dari Barat telah pun menyatakan mereka mahu ini dilakukan dan kita mengambil peluang ini menjadi sebahagian pengerusi bersama antara Malaysia dan Jepun.

“Alhamdulillah gencatan senjata telah tercapai. Kita harap gencatan senjata ini kekal dan pembinaan semula negara Palestin di Gaza perlu kita lakukan,” katanya.

Berhubung cadangan mengeluarkan rakyat Palestin dari negara mereka ke Mesir, Jordan dan negara lain, Mohamad menegaskan Malaysia tidak bersetuju dengan tindakan itu.

Justeru, beliau berkata langkah bersepadu perlu dilakukan untuk membina semula sebuah negara bernama Palestin.

“Orang Palestin sendiri tidak mahu keluar dari tanah air mereka dan apa kita perlu lakukan ialah bersama memikirkan, bagaimana untuk kita bina semula negara Palestin dan ia mengambil masa yang panjang,” katanya.-BH Online