MELAKA: Pembelian 30 pesawat pejuang terpakai jenis F/A-18C D Hornet dari Kuwait untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka dimuktamadkan tahun ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata proses perolehan kini di peringkat akhir termasuk dokumentasi yang juga membabitkan Amerika Syarikat (AS), selaku pembuat asal pesawat berkenaan.
Katanya, Malaysia dan dan Kuwait secara dasar bersetuju dengan pembelian berkenaan, namun beberapa proses dokumentasi akan dimuktamadkan termasuk perjanjian dan perkara berkaitan seperti harga perolehan.
Ditanya mengenai aset terpakai, beliau berkata ia tidak menjadi isu.
“Jika aset baharu cabaran (kita hadapi) ialah faktor masa masa… (jadi) dalam mempersiap pertahanan negara, salah satu pilihan adalah membeli aset terpakai selepas dinilai oleh user (pengguna) kita iaitu TUDM sendiri yang membuat penilaian.
“Berdasarkan penilaian mereka memang ada keperluan dan pesawat terbabit masih mempunyai keupayaan, malah dalam jangka masa panjang boleh memberi sesuatu yang baik dalam menjaga pertahanan dan kedaulatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan faedah Ganjaran Hilang Upaya (GHU) kepada 38 veteran ATM dari zon Tengah iaitu Melaka dan Negeri Sembilan di sini petang ini.
Dalam majlis yang sama, Adly turut menyampaikan komputer riba kepada lapan penerima dalam kalangan anak veteran, serta sumbangan rahmah kepada 22 persatuan veteran ATM Melaka.
Oktober tahun lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Norden berlepas ke Kuwait untuk meninjau sendiri status terkini pesawat pejuang milik Tentera Udara Kuwait (KAF) terbabit.
Malah, kerajaan Kuwait memberikan maklum balas positif tentang hasrat negara untuk memperoleh pesawat pejuang itu dan kedua-dua negara bersetuju menubuhkan jawatankuasa bagi memulakan rundingan mengenainya.-BH Online