KUALA LUMPUR, 30 Januari- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diarahkan untuk memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi Persekutuan dan negeri berikutan situasi banjir yang semakin buruk di Sabah serta Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pihaknya mengutamakan kebajikan penduduk yang terjejas akibat banjir serta keselamatan penduduk di kawasan terkesan.
Beliau turut mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas dapat menjalani peperiksaan dengan selamat dan selesa.
“Berduka cita menerima perkhabaran situasi banjir yang semakin buruk di Sabah dan Sarawak. Saya zahirkan simpati pada ribuan saudara kita di sana (Sabah dan Sarawak) yang terkesan dengan bencana ini.
“Skuad Ihsan MADANI akan turun membantu penduduk banjir di pusat pemindahan sementara serta bersiap siaga bagi penugasan pascabanjir.
“Moga semua penduduk yang terkesan diberi kesabaran dan ketabahan sepanjang tempoh musibah ini melanda,” katanya menerusi perkongsian di Facebook miliknya.-Berita RTM