KUCHING: Orang ramai tidak seharusnya menjadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir sebagai tempat pembuangan pakaian buruk.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata sumbangan orang ramai bagi membantu meringankan beban mangsa banjir amat dialu-alukan.
Namun katanya, jika mahu memberi sumbangan, mereka harus berhubung dengan agensi kerajaan yang berkaitan atau pun jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat daerah.
“Ini sesuatu yang amat tidak baik yang pernah berlaku. Ada orang menyumbang barang terpakai (ke PPS) tetapi barang itu sudah tidak boleh dipakai.
“Kita tidak mahu PPS dijadikan sebagai tempat pelupusan barangan terpakai dan bagi mengelak perkara seperti itu berulang, sesiapa yang mahu menyumbang dimita berhubung dengan agensi berkaitan bagi membolehkan pegawai memantau barang yang dihantar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PPS Dewan Haji Kamaruddin di Kampung Segedup, di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut mengingatkan individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan supaya tidak memberikannya terus kepada mangsa.
Menurutnya, semua sumbangan sama ada wang tunai atau barangan harus dibuat menerusi sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
“Misalnya jika ada individu atau NGO yang mahu memberi sumbangan kepada mangsa banjir di Bintulu, mereka harus menghantarnya ke pejabat Residen Bintulu yang juga sekretariat JBPN peringkat bahagian dan daerah.
“Langkah ini diambil bagi mengelakkan kekeliruan dan kami mahu mengkoordinasikan semua sumbangan supaya ia dapat diagihkan secara teratur kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya ketika ditemui selepas melawat PPS Dewan SJK Chung Hua, Batu Kawa, hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, sehingga jam 3.30 petang ini, sebanyak 48 PPS dibuka bagi melindungi seramai 6,597 mangsa banjir daripada 1,808 keluarga.
Daripada jumlah itu, 18 PPS dibuka di Serian Bintulu (8), Kuching (5), Samarahan (5) dan Miri (8) dan Sibu (3).-BH Online