KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau menghormati Tun Dr Mahathir Mohamad atas faktor usia bekas Perdana Menteri itu, namun bukan pendapatnya.
Pandangan Presiden UMNO itu dibuat susulan kenyataan Dr Mahathir yang menyifatkan pemimpin UMNO tidak lebih daripada lalat dalam Kerajaan Perpaduan.
“Saya fikir kita hormatilah… umurnya tapi saya tidak hormati pendapatnya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA di sini, hari ini.
Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa pimpinan UMNO tidak lebih daripada lalat dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau membuat dakwaan itu, merujuk kepada kenyataan Naib Presiden DAP, Nga Kor Ming yang sebelum ini dilaporkan beliau tidak mahu melayan atau bergaduh dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang disifatkan seperti singa dan lalat.
Sementara itu, Ahmad Zahid, berkata sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini lebih meriah, termasuk melalui pertunjukan dron di sekitar Menara Berkembar PETRONAS oleh pasukan dari China, baru-baru ini.
Pertunjukan itu juga, katanya memperlihatkan yang hubungan diplomatik 50 tahun antara Malaysia dan China bukan hanya diterjemah melalui kerajaan dengan kerajaan (G2G) tetapi juga perniagaan dengan perniagaan (B2B) dan rakyat dengan rakyat (P2P).
“Ini dipertingkat dengan lawatan rasmi dan lawatan yang dilakukan antara Malaysia dan China.
“Bagi 2026, kita harap lebih ramai pelancong dari China dan setakat ini, kita sudah terima 3.8 juta pelacong. Ini diharap dapat membantu pertumbuhan ekonomi yang baik dengan China,” katanya.
Pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan tetamu yang hadir turut menggaul yee sang, yang menjadi simbol penyatuan, kemakmuran dan kekayaan.
Majlis turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Seri Mohamdd Hasan, yang juga Timbalan Pengerusi BN; Menteri Pendidikan Tinggi,Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang juga Setiausaha Agung BN; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob.-BH Online