KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan 1,968 saman dalam tempoh lapan hari pelaksanaan Op Khas Tahun Baharu Cina (Op Khas TBC) 2025 bermula 20 Januari lalu.
Pengarah JPJ Terengganu, Zamri Samion, berkata saman itu hasil pemeriksaan terhadap 19,597 kenderaan termasuk motosikal, kereta, lori, bas dan lain-lain kenderaan persendirian.
Beliau berkata, selain itu, sebanyak 1,833 notis juga dikeluarkan terhadap pemandu gagal mematuhi peraturan ditetapkan dalam Op Khas TBC kali ini.
“Antara kesalahan paling banyak dikesan ialah gagal mematuhi lampu isyarat merah, tidak memakai topi keledar, memotong di garisan berkembar dan tidak memakai tali pinggang keledar.
“Hasil pemeriksaan kita juga menyita 37 kenderaan termasuk 30 motosikal, empat kereta dan tiga lori,” katanya selepas melakukan pemeriksaan bas ekspres di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) malam tadi.
Zamri berkata, pihaknya juga menugaskan 16 anggota melakukan kerja penyamaran bagi mengawasi pemandu dan memantau pergerakan bas ekspres sepanjang Op Khas TBC 2025.
Beliau berkata, ia membabitkan perjalanan pergi dan balik ke tiga destinasi iaitu Kota Bharu, Kuantan dan Kuala Lumpur.
“Bagi memastikan bas berada dalam keadaan selamat, JPJ Terengganu mengambil langkah awal menjalankan pemeriksaan di tujuh depoh seluruh negeri bermula 13 hingga 19 Januari lalu.
“Dalam tempoh Op TBC 2025 sebanyak 165 bas diperiksa dengan 31 pemandu bas diarah menjalani pemeriksaan air kencing dan semua menunjukkan keputusan negatif,” katanya.– BERNAMA