Ipoh: Kerajaan Perak menyokong langkah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk mengkaji cadangan perluasan sekatan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam seperti dilaksanakan di Gugusan Manjoi, di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata MBI sedang di peringkat kajian dan akan melalui proses serta prosedur jawatankuasa sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri tiada halangan untuk MBI meneruskan kajian itu mengikut bidang kuasa MBI yang diperuntukkan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Ipoh) 2017 selain Pematuhan Peraturan Minuman Beralkohol/ Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan Akta Makanan 1983,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dilaporkan berkata, pihaknya sedang melaksanakan kajian terhadap cadangan supaya larangan penjualan minuman keras yang kini dilaksanakan di Gugusan Manjoi diperluaskan di kawasan majoriti penduduk Islam yang lain.
Rumaizi memaklumkan, beberapa kawasan lain dikenal pasti mengemukakan permintaan supaya tiada jualan minuman keras di tempat mereka termasuk di Tambun, Rapat Setia dan Sungai Rokam.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, kajian yang dilaksanakan MBI akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk data demografi serta meneliti secara terperinci penetapan zon berdasarkan Kelas Guna Tanah (KGT) yang digariskan dalam Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh (RTBI) 2035.
“MBI perlu melakukan kajian menyeluruh supaya cadangan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada usaha memelihara kemaslahatan umat Islam, tetapi mengambil kira keperluan mewujudkan peraturan yang dapat menjamin kerukunan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
“Kerajaan negeri menegaskan bahawa sebarang ketetapan yang dibuat hendaklah bersifat inklusif dengan mengambil kira maklum balas masyarakat, mencerminkan kehendak sebenar penduduk setempat dan mestilah selari dengan panduan undang-undang yang sedia ada,” katanya.
Saarani juga mengingatkan semua pihak supaya memberi ruang sepenuhnya kepada MBI untuk memperhalusi segenap aspek cadangan berkenaan.
“Perbalahan dan pertikaian tidak sepatutnya timbul kerana ia hanya akan mencetuskan ketegangan dan kekeliruan awam,” katanya.
Pada Ahad lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) harus mengekalkan status quo atau dasar sedia ada berhubung jualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan seliaan masing-masing.
Beliau dipetik berkata, sekiranya terdapat permintaan komuniti setempat untuk menyekat jualan arak di sesuatu kawasan, PBT akan meneliti dan menilai permintaan terbabit.-BH Online