Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 28 Januari– Majikan yang berhasrat menutup operasi perniagaan melebihi hari kelepasan am yang diwartakan sempena Tahun Baharu Cina (TBC), diingatkan supaya tidak memaksa pekerja mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji dalam tempoh berkenaan.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi satu kenyataan memaklumkan aduan telah diterima daripada pihak pekerja mengenai tindakan segelintir majikan.

Jelas kenyataan itu, terdapat majikan yang memaksa pekerja mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji, berikutan penutupan operasi sebelum dan selepas hari kelepasan am pada 29 Januari dan 30 Januari.

“KESUMA menegaskan pekerja berhak untuk menentukan cuti tahunan yang hendak dimohon dan majikan tidak boleh memaksa pekerja mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji bagi mengurangkan kos perniagaan.

Ia berikutan cuti tahunan serta cuti tanpa gaji hendaklah diberikan atas kehendak dan permohonan pekerja sendiri,” kata kenyataan itu.

Pekerja yang berdepan situasi itu boleh melaporkan perkara berkenaan kepada Pejabat Tenaga Kerja berhampiran sebagaimana peruntukan Seksyen 69 Akta Kerja 1955 [Akta 265].

Ini termasuk situasi majikan yang telah menolak kelayakan cuti tahunan atau gajinya bagi tempoh penutupan syarikat yang melebihi hari kelepasan am.-Berita RTM