KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan pesawah yang hendak berhimpun di Putrajaya hari ini bagi menyerahkan memorandum supaya menangguhkannya ke suatu masa yang sesuai.
Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak menghalang mereka untuk berhimpun sebaliknya menjelaskan ia tidak sesuai dilakukan ketika Lawatan Negara, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Justeru, beliau mengarahkan agar Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk mengadakan perjumpaan dengan pesawah dan mengambil memorandum berkenaan untuk tindakan selanjutnya.null
Katanya, kerajaan berharap agar perhimpunan itu tidak dilangsungkan bagi mengelak ia menganggu perjalanan majlis rasmi negara.
“Mengenai cadangan dari beberapa pesawah dari utara datang ke Putrajaya esok…Esok kita ada tamu negara. Presiden Prabowo Subianto dalam lawatan rasmi atas undang Yang di-Pertuan Agong dan saya. Ada perjumpaan berikutanya di Putrajaya.
“Saya tidak menghalang ada pertemuan nak jumpa serah memorandum kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, silakan.
“Tapi buat urusan, tetapkan masa yang sesuai. Saya tidak setuju sama sekali diadakan perhimpunan menganggu perjalanan dan urusan lawatan rasmi negara (membabitkan) Presiden Indonesia.null
“Jadi saya minta rakan-rakan iaitu pesawah yang hendak datang kalau ada hal yang dimusykilkan atau dituntut, saya ada menghubungi saudara Menteri Pertanian (dan Keterjaminan Makanan), Mohamad Sabu untuk mendengar, menemui dan mengambil memorandum dan diulas.
“Tetapi janganlah ganggu majlis negara yang melibatkan negara sahabat. Itu peringatan saya. Saya telah minta Ketua Polis Negara bantu untuk mengawal tapi sebaiknya saya minta dielak.
“Kita (kerajaan) kalau tak mahu jumpa dan nak bantah bolehlah. Ini kita kata boleh jumpa. Cuma nak ada perhimpunan aman, silakan tapi jangan diambil kesempatan itu untuk menganggu-gugat apa lagi majlis rasmi negara yang melibatkan negara sahabat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri syarahan syarahan bertajuk Islam : The Covenants Fulfilled yang disampaikan oleh Profesor Diraja, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam ini.
Media hari ini melaporkan lebih 1,000 pesawah dari seluruh negara akan berkumpul di Putrajaya bagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, esok.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysai (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob.
Menurut Abdul Rashid, antara perkara yang dibawa kepada perhatian Perdana Menteri berkenaan tuntutan pesawah yang mahukan harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,800 untuk satu tan metrik.-BH Online