SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan melaksanakan audit dan siasatan dalaman terhadap semua agensi kerajaan di negeri ini bagi mengesan kegiatan kartel pindah milik tanah secara tidak sah.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia sebagai menyahut saranan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, untuk mengesan sekiranya kegiatan itu turut membabitkan jabatan lain selain Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang.
“Kita akan laksanakan (audit dan siasatan dalaman) sebab timbul perkara ini dan kita terima saranan (yang dikemukakan JSJK) itu.
“Kita akan semak… kemungkinan untuk kita laksanakan audit di jabatan-jabatan lain supaya kita boleh kenal pasti ada berlaku atau tidak perkara itu,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 dan Pelancaran Penjenamaan Kita Selangor di sini hari ini.
Semalam, Ramli melalaui kenyataan berkata, agensi kerajaan termasuk PDT Klang perlu mengendalikan audit serta siasatan dalaman untuk menentukan jika ada pejabat sama di daerah lain turut terbabit kegiatan kartel pindah milik tanah secara tidak sah.
Beliau berkata, jika ada bukti atau maklumat mengaitkan PDT lain dengan kes jenayah ini, pihak polis bersedia untuk menjalankan siasatan.
Kenyataan itu menyusul selepas Amirudin menyatakan pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan kartel pindah milik tanah secara tidak sah yang dibongkar pihak berkuasa sebelum ini membabitkan bukan hanya PDT Klang.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan memperketat prosedur operasi standard (SOP) membabitkan sistem pengurusan tanah dalam talian (e-tanah) bagi mengesan sebarang kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah di Selangor.
“Kita cuba menangani hal ini dengan memperkukuhkan SOP di peringkat pengurusan tanah dan SOP ini akan membantu kita mengenal pasti siapa yang masuk dalam sistem, bila masa dan sebagainya.
“(Mana-mana individu) diwajibkan untuk mendaftarkan nama pengguna dan kemasukan mereka itu supaya kita dapat mengesan perkara terbabit.
“… sebab pengurusan melalui dalam talian ini juga ada risiko tertentu… tetapi kalau kita dapat urus dengan baik, kita dapat kesan (segala aktiviti dalam sistem e-tanah),” katanya.-BH Online