Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BATU CAVES: Kegiatan kartel pindah milik tanah secara tidak sah di Selangor yang dibongkar pihak berkuasa sebelum ini kemungkinan besar tidak hanya berlaku di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, namun kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya aspek siasatan kes kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan bukti kukuh.

“Setakat ini yang kita kenal pasti satu. Tapi yang lain-lain saya tidak pasti sebab ia bukan satu kerja yang mudah. 

“Seorang mengambil tindakan. Dia ada dua atau tiga (yang lain) komplot dengan jabatan yang lain. Jadi itu yang berlaku.

“Namun itu hanya dapatan awal. Saya tidak mahu hukum. Biar ia melalui proses undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kebun Komuniti dan Penyerahan Rumah Hijau Projek Teknologi Microfarm di Taman Batu Caves, di sini, hari ini.

Sebelum ini, BH melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar kegiatan memindah milik tanah secara tidak sah membabitkan ‘orang dalam’ di sebuah PTD di Selangor.

Susulan itu, Bukit Aman menahan 17 individu termasuk tujuh kakitangan PDT Klang sejak September lalu kerana disyaki terbabit kartel berkenaan membabitkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta. 

Tujuh kakitangan PDT Klang ditahan yang ditahan itu juga sudah dipindahkan ke jabatan lain.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata Selangor akan mempertingkatkan prosedur dalam sistem pengurusan tanah bagi mengelak kes kartel tanah terus berlaku di negeri itu.

Beliau berkata, ia perlu supaya ruang itu dapat ditutup dan tidak dimanipulasi mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.

“Untuk kes kartel tanah baru-baru ini, kita akan ambil tindakan disiplin terhadap mereka sekiranya benar-benar terbukti bersalah dan sebagainya. 

“Sebelum ini kita ada mengenal pasti siapa yang melakukan aktiviti-aktiviti itu. Itu akan dikenakan tindakan di bawah tata kerja ataupun di dalam jawatankuasa disiplin,” katanya.

Amirudin ketika ditanya tidak menolak kemungkinan isu kartel tanah berkenaan berlaku ketika peralihan daripada sistem manual kepada sistem digital.

“Kemungkinan modus operandi kes kartel tanah berkenaan adalah mengenal pasti tanah-tanah kosong yang sudah lama tidak diusahakan dan mereka tidak berseorangan.

“Mereka ada pegawai yang mengenal pasti senarai tanah di lapangan yang tahu tanah itu tidak diusahakan.

“Mereka berkemungkinan ada unit teknologi maklumat yang mampu mengubah data. Semua ini bergerak menjadi satu pergerakan dan itu dapat dikesan. Mereka tidak boleh menyelesaikan seorang sahaja kerana ia agak merumitkan,” katanya.-BH Online