Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KULIM: Kedudukan negara sebagai antara destinasi pilihan pelancongan perubatan, telah mendorong kegiatan seperti perkhidmatan klinik dan perakuan sijil doktor palsu berlaku, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, sektor perubatan negara kita mendapat perhatian sangat baik daripada negara jiran terutama Indonesia, yang sering memilih fasiliti kesihatan di Pulau Pinang, Melaka dan Johor.

“Oleh kerana permintaan yang tinggi maka timbullah gejala klinik palsu, sijil perakuan doktor palsu…tapi sistem kita tak sewenangnya dapat diatasi dan sebab itulah kita dapat kesan (kegiatan pemalsuan ini).

“Jabatan Imigresen bertanggungjawab mengeluarkan visa perubatan, tetapi terdapat isu penyalahgunaan seperti sijil perubatan palsu dan klinik tidak sah. Imigresen akan terus uruskan dengan cermat sebelum sesuatu visa dikeluarkan,” katanya pada media selepas Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri di Sekolah Kebangsaan Sungai Karangan dekat sini, hari ini.

Semalam media melaporkan Jabatan Imigresen Malaysia bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menahan 10 lelaki warga Bangladesh dalam serbuan ke atas klinik doktor warga asing di sembilan lokasi sekitar ibu negara. – BERNAMA