Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak memperketat syarat penukaran hak milik tanah di negeri ini bagi membanteras penyelewengan kartel pindah milik secara tidak sah membabitkan ‘orang dalam’.

Pengarahnya, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip, berkata sebarang penukaran hak milik tanah di negeri ini hanya boleh dilakukan melalui sistem e-Tanah dengan mengemukakan geran asal. 

Selain itu, katanya, semua kakitangan PTG yang terbabit urusan e-Tanah memiliki identiti digital (ID) bagi membolehkan sebarang bentuk salah guna kuasa dikesan.

“Di tempat (negeri) lain bukan geran hak milik asal boleh diterima, tapi kita tidak.

“Dengan adanya dua langkah kawalan keselamatan ini, setakat ini kita yakini memberi perlindungan terhadap pemilik tanah.

“Setakat ini, kita berjaya mengawal sebarang bentuk salah laku mahupun kesempatan melalui ruang elektronik,” katanya ketika ditemui pada Hari e-Tanah yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Mohamad Fariz berkata demikian mengulas usaha PTG Perak mengelak kewujudan kartel pindah milik secara tidak sah yang sebelum ini dilaporkan berlaku di Selangor.

Beliau berkata, dua langkah itu dilaksanakan selepas pihaknya mengenal pasti kelemahan ketika proses penukaran sistem manual kepada Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB) dahulu.

“Kita dapati berlaku keadaan yang boleh membuka peluang untuk mereka menukar nama.

“Maka selepas kita belajar bahawa pendekatan elektronik boleh berlaku sedemikian, kita berunding dengan vendor e-Tanah supaya penyelewengan pindah milik tidak berlaku sewenang-wenangnya,” katanya.

Terdahulu, polis membongkar kegiatan memindah milik tanah secara tidak sah membabitkan ‘orang dalam’ di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang, Selangor membabitkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata 17 individu ditahan termasuk tujuh kakitangan pejabat tanah sejak September tahun lalu kerana disyaki terbabit kartel berkenaan.-BH Online