Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUNGAI SIPUT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendedahkan Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru (PKBC) di bawah kementerian itu kurang mendapat sambutan apabila hanya RM13.5 juta pinjaman dikeluarkan daripada peruntukan RM150 juta bagi tempoh dua tahun sejak 2023.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata situasi itu agak pelik memandangkan skim pinjaman yang dikhaskan kepada penduduk Kampung Baru Cina itu disifatkan senang untuk dimohon dan diluluskan, selain mengenakan kadar faedah rendah yang tetap iaitu 2.25 peratus setahun.

“Saya tidak puas hati kerana kita tawarkan (peruntukan) lebih kurang RM150 juta, tapi kita hanya keluarkan pinjaman RM13.5 juta untuk 2023 dan 2024, sedangkan peluang untuk memohonnya sangat tinggi (untuk diluluskan). 

“Kini RM144.6 juta masih tersedia untuk skim pinjaman PKBC ini, di mana nilai yang ditawarkan ini lebih tinggi berbanding RM120 juta yang ditawarkan syarikat judi loteri.

“Jadi, banyak lagi sedang menunggu anda maka janganlah pergi beli loteri kerana susah mahu ‘kena’, sedangkan skim PKBC ini peluang untuk ‘kena’ sangat tinggi,” katanya pada media akhbar selepas menyempurnakan Perasmian Projek Bina Baharu Rumah di Kampung Rimba Panjang, di sini, hari ini.

Skim Pinjaman Khas PKBC adalah program menyediakan bantuan kewangan berbentuk pinjaman kepada penduduk Kampung Baru bagi tiga tujuan iaitu membayar premium pajakan tanah, menyokong aktiviti perniagaan kecil dan menaik taraf rumah dengan kadar faedah ditawarkan sebanyak empat peratus berdasarkan baki bulanan, bersamaan kadar tetap tahunan 2.25 peratus.

Di bawah skim itu, terdapat empat jenis skim dengan dua daripadanya adalah bagi tujuan menyokong aktiviti perniagaan kecil bagi penduduk Kampung Baru yang mensyaratkan pemohon berpendapatan tidak melebihi RM250,000 setahun, iaitu bagi kategori Skim B dan Skim D.

Kategori Skim A adalah pembiayaan bayaran premium tanah dengan saiz pinjaman RM3,000 hingga RM100,000 yang mensyaratkan pendapatan sendiri bersamaan atau kurang RM8,000 manakala isi keluarga di bawah RM10,000; sementara Skim C adalah pinjaman menaik taraf rumah.

Kor Ming berkata dalam tempoh dua tahun lalu RM13.5 juta nilai pinjaman yang dikeluarkan oleh Bahagian Kampung Baru Cina (BKBC) yang berada di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) membantu seramai 267 pemohon yang kebanyakannya menceburi sektor perdagangan borong, peruncitan, dan pembuatan.

“Di kesempatan ini, saya ingin menggalakkan penduduk Kampung Baru Cina yang layak dan berminat memulakan perniagaan untuk mengemukakan permohonan. Setakat ini, kita masih mempunyai sebanyak RM144.6 juta yang tersedia untuk skim PKBC.

“Jadi, jangan ingat semua masyarakat Cina mendiami kawasan bandar, memandangkan 70 peratus daripada keseluruhan populasi masyarakat kaum Cina di Malaysia menetap di kawasan Kampung Baru, membabitkan keseluruhan 613 kampung baharu di Semenanjung,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata sepanjang tahun lalu, sebanyak 934 projek pembangunan dilaksanakan oleh PKBC JKT dengan jumlah peruntukan RM107.81 juta iaitu membabitkan 99 peratus daripada keseluruhan peruntukan yang diterima.

Katanya, nilai itu belum termasuk beberapa projek lain seperti pemasangan 1,233 lampu jalan solar jenis LED di 195 kampung baru; pelaksanaan enam projek geran sosioekonomi, geran bagi pelaksanaan 768 program komuniti kampung baru, dan sebagainya.

“Secara keseluruhannya, KPKT sudah membelanjakan RM121.38 juta untuk projek pembangunan Kampung Baru Cina bagi 2024, dengan jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 13.4 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM107.07 juta,” katanya.-BH Online