JELI: Empat puluh kaunter ‘autogate’ Sistem Kod Respons Pantas (QR) yang dipasang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 21 hari lalu sudah dimanfaatkan lebih 150,000 pengguna.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kemudahan itu adalah langkah inovatif ke arah mempercepatkan pemeriksaan kaunter Jabatan Imigresen.
Katanya, kementeriannya juga menekankan usaha meningkatkan kecekapan sistem penyampaian terutamanya melalui digitalisasi perkhidmatan. null
“Ia juga memperbaiki imej negara, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Pada masa yang sama, pengembara yang memuat turun aplikasi MyBorderPass pula sudah melepasi setengah juta.
“Trend itu terus meningkat kerana untuk melepasi pemeriksaan kaunter Imigresen hanya memerlukan tempoh tiga saat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor) Bangunan Jabatan Kerja Raya, Datuk Ir Ibrahim Esa dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Saifuddin berkata, KLIA adalah pintu masuk utama negara dan tahun lalu jumlah pelepasan penumpang adalah 15 juta manakala ketibaan hampir 14 juta.
“Bayangkan daripada ketibaan 30 juta pelancong separuh daripadanya adalah di KLIA,” katanya.
Saifuddin berharap lebih banyak kaunter pemeriksaan yang menggunakan inovasi baru itu dapat dipasang di pintu masuk utama negara pada tahun ini.
“Pemeriksaan Imigresen beralih sedikit demi sedikit, namun pelancong masih perlukan pasport. Cuma urusan di pintu masuk ini adalah aplikasi yang lebih pintar,” katanya.-BH Online