Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited menyediakan bantuan berterusan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mematuhi pelaksanaan gaji minimum baharu yang akan berkuat kuasa mulai bulan depan. 

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri R Ramanan, berkata antara inisiatif yang disediakan adalah latihan pengurusan kewangan untuk membantu PKS mengurus kos secara lebih efektif, seterusnya mencapai penjimatan yang mampu menyokong matlamat perniagaan masing-masing.

“Kenaikan gaji minimum ini adalah langkah proaktif bagi meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain memastikan pekerja menerima pendapatan yang lebih mampan untuk kehidupan harian mereka. 

“Walaupun kesediaan PKS pada ketika ini masih sederhana, KUSKOP telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk memudahkan proses peralihan ini,” katanya selepas menghadiri Persidangan Daya Tahan dan Pertumbuhan PKS Malaysia 2025, di sini hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan, berkuat kuasa 1 Februari 2025. 

Bagaimanapun, kerajaan memberikan kelonggaran kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja, dengan penangguhan pelaksanaan gaji minimum baharu sehingga 1 Ogos 2025. 

Ramanan menjelaskan bahawa dengan jumlah PKS di Malaysia hampir mencecah 1.1 juta, sektor ini memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara. 

“Kerajaan memberikan perhatian yang besar kepada PKS, dan mereka perlu memikul tanggungjawab lebih besar untuk memacu ekonomi. 

“Sebanyak RM40 bilion telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2025 untuk menyokong pembangunan dan pengembangan PKS, termasuk membantu mereka meneroka pasaran antarabangsa,” katanya. 

Ramanan turut menggesa PKS untuk memanfaatkan peluang di pasaran Uzbekistan, sebuah negara majoriti Islam yang memiliki kira-kira 400,000 PKS yang berpotensi menjadi rakan kerjasama. 

“Pasaran ini membuka peluang besar kepada kita, khususnya dalam memasarkan produk halal seperti kosmetik, makanan, dan pelancongan. Ini adalah potensi yang harus direbut oleh usahawan kita,” katanya. 

Beliau turut menasihatkan PKS agar menyesuaikan diri dengan piawaian global, termasuk aspek kemampanan, tadbir urus korporat, dan halangan perdagangan digital untuk terus kekal relevan di pasaran antarabangsa. 

“Cabaran dalam memenuhi piawaian global ini menjadi elemen penting untuk memastikan daya tahan perniagaan, lebih-lebih lagi dengan pengaruh kuat aspek alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) dalam operasi perniagaan di peringkat global,” katanya. 

Langkah-langkah ini, katanya, penting bagi memastikan PKS Malaysia terus berdaya saing dan memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.-BH Online