PUTRAJAYA – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan perbelanjaan agihan zakat meningkat kira-kira 15 peratus iaitu RM1.341 bilion sepanjang 2025 kepada RM1.156 bilion pada tahun sebelumnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, peruntukan perbelanjaan agihan zakat itu melibatkan dua fokus utama pemerkasaan dan kesejahteraan asnaf sebanyak RM1.110 bilion serta pemerkasaan modal insan melalui pendidikan bernilai RM230.63 juta.
Menurutnya, MAIWP juga memperuntukkan RM407.37 juta untuk disalurkan melalui kluster bantuan kebajikan serta RM50.28 juta bagi perumahan.
“RM187.34 juta pula bagi kluster pendidikan, RM191.74 juta untuk pembangunan ummah, RM63.64 juta bantuan ekonomi dan asnaf serta RM65.31 juta untuk perubatan, demi memastikan keperluan setiap golongan terbela.
“Sebanyak RM197 juta bagi agihan wakalah dan RM177.99 juta untuk amil yang turut memperkukuh pengurusan zakat yang cekap dan berkesan.
“Insya-ALLAH, usaha ini akan terus membawa rahmat dan manfaat kepada masyarakat di Wilayah Persekutuan,” katanya ketika Majlis Pengumuman Prestasi Kutipan Dan Agihan Zakat 2024 Wilayah Persekutuan di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin dan tetamu kehormat yang lain.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, kutipan keseluruhan zakat harta dan fitrah meningkat 10 peratus iaitu RM1.133 bilion sepanjang 2024 berbanding RM1.031 bilion pada 2023.
“Daripada keseluruhan kutipan, zakat pendapatan menyumbang yang tertinggi sebanyak RM772 juta bersamaan dengan 68 peratus diikuti zakat perniagaan, wang simpanan, harta, fitrah, qadha dan lain-lain.
“Pada 2024, MAIWP telah mengagihkan RM1.156 bilion dana zakat kepada lapan golongan asnaf melalui pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan dalam bentuk skim bantuan zakat, Al-Wakalah, institusi pendidikan dan kebajikan, prasarana umat Islam, perbelanjaan penyelenggaraan prasarana serta amil,” ujarnya.
Menurut Mohd Na’im, pada tahun ini, PPZ-MAIWP turut menyasarkan peningkatan lima peratus jumlah penerima berbanding 2024 iaitu seramai 284,683 penerima keseluruhan dan 34,651 dalam kalangan ketua keluarga.
“Pelbagai faktor menyumbang kepada peningkatan jumlah agihan dan penerima antaranya ialah pertambahan hasil kutipan zakat pada 2024 yang membolehkan lebih ramai asnaf disantuni.
“Malah, penambahbaikan dan inovasi dalam pengagihan zakat memudahkan dana zakat diagihkan semaksima yang mungkin selain kos sara hidup yang semakin tinggi terutama di Wilayah Persekutuan memberi impak kepada peningkatan jumlah penerima bantuan zakat MAIWP,” ujar beliau.-Sinar Harian