Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat keharmonian negara termasuk melalui tindakan dan kenyataan boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata kebelakangan ini terdapat segelintir pihak yang membuat tindakan seumpama itu, terutama apabila berlakunya pelbagai insiden mengganggu gugat keharmonian termasuk insiden sebuah cawangan kedai serbaneka, KK Mart di Universiti Malaya (UM) disimbah cat merah semalam.

Katanya, ketika ini isu penjualan produk sandwich ‘ham dan cheese’ yang dijual di kedai itu dipercayai menjadi punca insiden berkenaan, sedang dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Justeru, saya memohon semua pihak supaya tidak mengeruhkan keadaan lagi dengan mengeluarkan atau membuat tindakan provokasi.

“Setiap warganegara Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk menjaga dan memelihara sensitiviti demi memastikan keamanan serta kesejahteraan negara kekal terjamin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, KK Mart cawangan UM yang terpalit kontroversi kerana menjual sandwic ‘ham & cheese’ disimbah cat merah.

Berdasarkan pemantauan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dua individu menunggang motosikal disyaki terbabit membaling cat berkenaan.

Mengulas lanjut, Aaron berkata, sebagai sebuah negara yang menuju kemajuan, penting untuk semua pihak terus menghormati nilai murni yang terkandung dalam Rukun Negara dan prinsip integrasi nasional, iaitu Faham, Hormat dan Terima sebagai asas perpaduan nasional. 

Di pihak kerajaan, katanya, pelbagai usaha sedang dan akan terus dilaksanakan bagi memperkukuh perihal pengurusan perpaduan serta keharmonian. 

Sejajar usaha itu, kementerian menurutnya, menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan dan akan memperluas perkhidmatan Mediator Komuniti di peringkat akar umbi serta penggunaan sistem e-Sepakat kepada orang ramai bagi membolehkan mereka membuat laporan berkaitan isu perpaduan.

“Saya juga ingin menekankan yang perpaduan bukanlah tugas eksklusif kerajaan semata-mata tetapi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia. 

“Dalam era digital ini, tanggungjawab ini menjadi lebih penting apabila kita berkomunikasi di platform media sosial. 

“Justeru, saya menyeru semua pihak untuk menggunakan media sosial dengan bijak, mengelakkan sebarang provokasi dan sentiasa mengutamakan perpaduan,” katanya.-BH Online