Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KLANG: Jajaran Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang menghubungkan Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) ke Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Shah Alam (SAE) akan dibuka kepada pengguna bermula jam 12.01 tengah malam ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pembukaan itu menjadi detik penting dalam usaha memajukan jaringan infrastruktur negara yang sangat ditunggu oleh pengguna lebuh raya, khususnya di sekitar daerah Kuala Langat dan Klang.

Sebagai tanda penghargaan kepada pengguna yang memasuki Lebuhraya WCE dari Plaza Tol SAE ke Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE) dan sebaliknya (di kedua-dua arah), mereka akan menikmati tol percuma selama sebulan bermula tengah malam ini.

“Saya ingin mengingatkan pengguna yang menggunakan laluan dari Plaza Tol SAE menuju ke Plaza Tol Banting atau sebaliknya, pengecualian tol hanya akan diberikan sehingga Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE). 

“Kadar tol bagi jajaran sedia ada akan dikenakan seperti biasa mengikut kelas kenderaan masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan Seksyen 2 WCE dari Persimpangan Bertingkat SKVE ke Persimpangan Bertingkat SAE hari ini.

Alexander berkata, jajaran Seksyen 2 itu adalah kesinambungan kepada jajaran Seksyen 1 yang dibuka kepada pengguna pada 31 Ogos 2024 iaitu dari Persimpangan Bertingkat Banting ke Persimpangan Bertingkat SKVE. 

“Dengan tambahan jajaran sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persimpangan Bertingkat SKVE dan

Persimpangan Bertingkat SAE ini, saya difahamkan tempoh masa perjalanan antara Shah Alam dan Banting akan menjadi lebih pendek iaitu dari 1 jam kepada 25 minit sahaja.

“Ini sekali gus menawarkan laluan alternatif yang amat diperlukan untuk mengurangkan kesesakan lalulintas di kawasan perumahan dan komersial sepanjang laluan sedia ada,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai salah satu infrastruktur penting dalam rangkaian ekonomi pantai barat Semenanjung Malaysia, WCE turut menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, pelancongan dan perdagangan serantau. 

“Pembukaan jajaran ini akan menjadi pelengkap kepada Pelabuhan Klang sebagai hab logistik terbesar di Asia Tenggara dengan akses yang kini semakin mudah dan cepat. 

“Laluan ini dijangka akan membantu mengurangkan kos operasi sektor logistik, mempermudah penghantaran barangan dan seterusnya meningkatkan daya saing Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, pada sidang medianya, Alexander berkata, di Selangor masih berbaki tiga Seksyen WCE sepanjang 45 kilometer belum dibuka daripada 11 jajaran keseluruhan.

“Tiga (Seksyen WCE) yang belum dibuka adalah di negeri ini dengan Seksyen 3 WCE dijangka akan dibuka pada tahun depan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan semua konsesi lebuh raya terus berperanan dalam memastikan pemanduan dan perjalanan pengguna di semua lebuhraya sentiasa selesa dan selamat. 

“Saya ingin mengingatkan pengguna untuk memanfaatkan kemudahan lebuh raya dengan sebaik-baiknya, dengan mematuhi peraturan jalan raya dan memastikan keselamatan sesama pengguna, serta menjaga keindahan dan kebersihan lebuh raya kita bersama,” katanya.-BH Online