Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia menggesa penubuhan pasukan petugas jenayah siber ASEAN ala Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi memudahkan perkongsian maklumat risikan dan kerjasama serantau dalam menangani ancaman digital dengan lebih berkesan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penubuhan pasukan itu penting kerana jenayah siber kekal sebagai ancaman keselamatan paling ketara.

“Sepanjang tahun lalu, Malaysia melaporkan kerugian kewangan lebih daripada RM1.22 bilion akibat jenayah siber dan berjaya mengesan berjuta-juta ancaman siber. 

“Ini mengukuhkan keperluan untuk mempertingkatkan daya tahan siber dan langkah keselamatan siber secara lebih proaktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pameran dan Sidang Kemuncak Antarabangsa Asia (AISSE25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Ahmad Zahid berkata, ancaman keselamatan seperti jenayah siber, keganasan dan jenayah rentas sempadan semakin canggih serta saling berkait. 

Katanya, penjenayah siber kini menggunakan kecerdasan buatan (AI), automasi, dan ‘dark web’ untuk melancarkan serangan yang memerlukan pihak berkuasa mencipta kesiapsiagaan baharu.

“Malaysia kekal komited untuk membina ekosistem keselamatan yang selamat, berdaya tahan dan saling bekerjasama, bukan sahaja untuk negara kita tetapi juga untuk rantau ASEAN dan seterusnya.

“Dengan perkembangan ekonomi digital, ancaman siber yang menyasarkan perniagaan, kerajaan, dan individu turut meningkat. Kepantasan kemajuan teknologi memerlukan rangka kerja keselamatan kita lebih tangkas dan adaptif,” katanya.

Beliau berkata, perkongsian keselamatan dalam kalangan negara ASEAN memainkan peranan penting mengekalkan kestabilan serantau. 

Melalui rangka kerja seperti ASEANAPOL (Polis ASEAN) dan INTERPOL, Malaysia aktif menyumbang kepada perkongsian perisikan dan pembanterasan sindiket jenayah rentas sempadan.

“Kita mesti mengukuhkan perkongsian ini untuk memastikan rangkaian perisikan terus berkembang seiring dengan ancaman keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, Malaysia komited memajukan kerjasama serantau dan memperkukuh daya tahan dalam semua aspek. 

Katanya, AISSE25 bukan sahaja menjadi pembuka tirai kepada Sidang Kemuncak ASEAN, malah menjadi platform untuk menangani objektif penting, selari dengan visi ASEAN.

“Empat objektif itu ialah membina industri mampan dan pembangunan global, meningkatkan daya saing dan daya tahan melalui teknologi, memupuk kerjasama serantau dalam ICT dan keselamatan siber serta memperkasa sumbangan global dan perkongsian antarabangsa,” katanya.-BH Online