Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu melabur dalam kepolisan moden bersandarkan teknologi maju bagi memperkasakan pencegahan jenayah serta penguatkuasaan undang-undang, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kepolisan moden tidak lagi hanya bergantung kepada kehadiran pihak berkuasa, sebaliknya lebih kepada penggunaan peralatan berteknologi tinggi.

“Saya yakin kepolisan moden tidak lagi harus dengan meramaikan ‘omnipresence’, ertinya mereka yang beruniform atau tidak beruniform (tidak perlu) berada di lokasi tertentu, tetapi lebih kepada peralatan.null

“Tindakan segera dalam memacu pencegahan dan penguatkuasaan hendaklah disegerakan. Terdapat negara maju yang mempunyai HD CCTV (kamera litar tertutup berdefinisi tinggi) yang dipasang di setiap 50 meter di kawasan sensitif dan ini harus dilakukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pameran dan Sidang Kemuncak Antarabangsa Asia (AISSE25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan mekanisme global yang menggunakan pengenalan wajah berdefinisi tinggi dan teknologi CCTV canggih boleh meningkatkan usaha pencegahan jenayah dengan ketara, mengurangkan masa tindak balas dan meningkatkan ketepatan.

“Saya percaya teknologi adalah teras strategi keselamatan moden. Kecerdasan buatan (AI), data besar dan analitik sedang mengubah cara kita mengesan, mencegah, dan bertindak balas terhadap ancaman.

“Malaysia secara aktif melabur dalam keselamatan berasaskan AI untuk membolehkan pengesanan ancaman secara masa nyata dan tindak balas pantas,” katanya.-BH Online